Ambulans dalam perjalanan ambil pesakit terlibat kemalangan tujuh kenderaan di Setapak

SEBUAH van ambulans terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tujuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Usahawan 6, Setapak, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu melibatkan sebuah van ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), dua buah kereta dan empat buah motosikal.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu dari arah Wangsa Maju sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau.

“Pada masa sama, sebuah van ambulans PBSM yang datang dari arah Jalan Kilang dengan lampu kecemasan dan siren diaktifkan telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah lalu bertembung dengan kereta tersebut.

“Berdasarkan semakan terhadap rakaman video kejadian yang tular di media sosial, didapati van ambulans berkenaan sememangnya memasang siren dan lampu mata arah.

“Namun, pemandu ambulans tersebut perlu mengambil langkah memperlahankan kenderaan semasa menghampiri dan memasuki persimpangan lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal lelaki Melayu berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah selepas patah tulang paha kanan, manakala mangsa lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Tambah beliau, ambulans terbabit tidak membawa pesakit dan sedang dalam perjalanan untuk mengambil pesakit di kawasan PPR Gombak Setia.

“Kesemua mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Dua penunggang motosikal yang terlibat masih belum membuat laporan polis kerana masih mendapatkan rawatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img