SEORANG remaja lelaki yang merupakan anak kepada wanita mangsa bunuh dan kerat di mana beberapa bahagian tubuhnya ditemukan di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, Kota Kinabalu Khamis lalu tampil membuat pendedahan kejadian menimpa ibunya malam tadi.
Dakwa remaja itu, arwah ibunya dan suspek telah bersetuju untuk memutuskan pertunangan mereka dan ibunya telah memulangkan wang RM7,000 kepada lelaki tersebut.

“Lelaki itu bersetuju putus, tapi dia minta RM7,000. Mama sudah bayar,” dakwa remaja itu ketika menceritakan konflik pertunangan yang dipercayai menjadi titik punca kepada tragedi pembunuhan ibunya.
Dia yang berkongsi perkara itu menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok malam tadi berkata, sepanjang tempoh pertunangan kira-kira dua hingga tiga bulan, hubungan ibunya dengan lelaki terbabit sering berlaku pertengkaran mulut akibat perbezaan pendapat dan kurang sefahaman.
“Apabila sudah selalu bergaduh, mama buat keputusan untuk tidak teruskan. Dia datang jumpa keluarga dan setuju putus, tapi minta RM7,000. Mama sudah bayar,” katanya.
Dalam siaran langsung itu, remaja itu mendakwa, selepas pertunangan diputuskan, dia sudah menasihatkan ibunya supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki berkenaan, walaupun sekadar berkawan.
“Namun begitu, walaupun hubungan sudah berakhir, lelaki (suspek) terbabit masih mengganggu ibu saya. Pelaku tidak menggunakan satu nombor telefon sahaja, sebaliknya menghubungi menggunakan enam nombor berbeza.
“Dalam masa sama, saya ada menasihati ibu supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki terbabit. Walaupun sekadar berkawan. Saya meminta supaya ibu menjauhkan diri sepenuhnya daripada individu itu.
“Ibu saya bersetuju dan berkata, dia akan mengikut nasihat saya serta melakukan apa yang terbaik demi kebaikan bersama,” katanya.
Dakwanya lagi, ibunya kemudian mengenali seorang lelaki lain dan tidak lama mereka berkahwin pada awal Januari lalu.
Menceritakan sehari sebelum kejadian, remaja itu berkata, pada Selasa minggu terbabit, ibunya menghadiri majlis kenduri sebelum pulang ke rumah dan keluar semula pada sebelah petang selepas memaklumkan mahu berjumpa seseorang bagi urusan tertentu.
“Antara jam 5 hingga 6 petang, ibu gagal dihubungi. Panggilan telefon dan mesej tidak berjawab, malah telefonnya tidak lagi aktif.
“Kami mula risau sebab mama biasanya akan telefon kalau sudah lewat. Abang saya tidak tidur satu malam, setiap setengah jam dia cuba hubungi mama sampai pagi.
“Keesokan harinya, keluarga dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang wanita. Hati mereka mula tidak sedap apabila melihat perkongsian di media sosial yang memaparkan sebahagian anggota badan mangsa.
“Saya kenal tangan mama saya. Memang itu tangan dia,” katanya.
Jelas remaja itu lagi, keluarga kemudian dipanggil ke balai polis untuk proses pengecaman sebelum mengesahkan mayat itu adalah ibunya.
“Selepas keluarga memaklumkan kepada polis mengenai bekas tunang sebagai individu yang disyaki, pihak berkuasa menyerbu rumah lelaki terbabit dan menemukan kesan darah dalam jumlah yang banyak selain beberapa barangan dipercayai milik mangsa.
“Suspek akhirnya ditahan ketika mendapatkan rawatan di hospital, manakala anaknya turut dipanggil membantu siasatan.
Menceritakan proses pengebumian ibunya, dia berkata, mama kemudiannya dikebumikan walaupun anggota tubuhnya tidak lengkap.
“Masih terdapat beberapa bahagian anggota badan yang belum ditemukan, namun keluarga mengambil keputusan untuk meneruskan pengebumian bagi menghormati arwah.
“Kami reda dan bersyukur mama sudah selamat dikebumikan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa bahagian anggota badan ditemukan di dua lokasi tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar pada Khamis lalu.
Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan berhampiran tempat letak kereta bersebelahan sebuah pasar raya pada jam 6.30 pagi. Anggota badan itu ditemukan pekerja lori sampah yang kemudian memaklumkan kepada polis.
Pencarian lanjut dilakukan polis dengan bantuan pekerja lori sampah yang membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran pasar raya itu.


