DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru golongan muda untuk bangkit menentang budaya kebencian kaum serta memperkukuh nilai kemanusiaan di negara ini.
Perdana Menteri berkata, konsep Malaysia MADANI menekankan kepentingan nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Walaupun kita terdiri daripada Melayu, Cina, India dan Orang Asli, kita perlu berkumpul sebagai sahabat dan bangkit mempertahankan nilai kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Anak Pahang MADANI 2026 di Kuantan hari ini.
Perdana Menteri berkata, masih terdapat pihak yang menyebarkan sentimen negatif serta meragui usaha memperkukuh perpaduan.
“Masih ada suara yang menentang kebenaran dan menyemai kebencian. Saya mahu anak-anak muda bangkit melawan suara-suara ini,” tegasnya.
Tegas beliau, usaha menanam nilai akhlak dan budaya yang baik amat penting bagi memastikan hubungan sesama masyarakat terus kukuh dan harmoni.


