DEWAN Rakyat perlu mengadakan sidang tergempar bagi bagi membincangkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia yang dimeterai kelmarin kerana ia dikatakan merugikan dan mendatangkan kemudarat kepada Malaysia.
Pada sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usul berhubung perkara itu dikemukakan bagi menangguhkan pelaksanaan perjanjian itu sehingga ia dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.
“Perjanjian yang telah dimuktamadkan ini, pada pandangan ramai pihak, pakar ekonomi dan juga Perikatan Nasional (PN), amat merugikan kita. Bayangkan kita jemput Trump ke rumah kita, tapi kita pula yang perlu ikut rentaknya.
“Sebab itu saya mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya membenarkan perbahasan sekurang-kurangnya satu hari mengenai hal ini. Jangan luluskan perjanjian ini selagi Parlimen belum meluluskannya. Ada banyak perkara yang boleh memudaratkan agama, bangsa dan negara kita.
“Kalau kerajaan Madani tidak telus, tunggulah. Kita akan turun ke jalanan jika tidak dibenarkan perbahasan. Kami akan bawa puluhan ribu rakyat ‘turunkan Anwar’ lagi selepas ini,” katanya.
Beliau berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar khas pada Khamis ini berhubung isu tersebut.
Pada Ahad lalu, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani satu perjanjian dagangan timbal balik berskala luas yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.
Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump semasa pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, kedua-dua kerajaan berkata perjanjian itu akan memberikan pengeksport kedua-dua negara akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing serta mengukuhkan hubungan ekonomi jangka panjang yang wujud sejak Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004.
Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia komited memberikan akses pasaran utama yang besar bagi eksport barangan industri AS, termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang, selain eksport pertanian seperti tenusu, ayam dan beras.



