PANGLIMA Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Datuk Azhan Md Othman mengesahkan anggota tentera yang dipukul di Kem Tentera Batalion 25, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Bentong, Pahang baru-baru ini kini dirawat di Hospital Temerloh dan bergantung kepada mesin sokongan hayat.
Katanya, apa yang berlaku ini merupakan satu insiden yang tidak boleh diterima sama sekali oleh TDM.
‘’TDM akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan kertas siasatan dan akan menjalankan siasatan dalaman sejurus suspek dibebaskan dari tahanan reman polis,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Ulang Tahun TDM ke-93 di Kem Perdana, Sungai Besi, di Kuala Lumpur, hari ini.
Azhan berkata, selepas tempoh reman pihak polis tamat, suspek akan diasingkan daripada penugasan dan ditempatkan di pos pengawal sementara siasatan dalam TDM dijalankan.
“Lembaga siasatan sudah ditubuhkan dan hasil siasatan akan diketahui secepat mungkin dan sekiranya didapati bersalah, tindakan paling tegas akan dikenakan.
“Selepas ini saya akan pergi melawat anggota terbabit di Temerloh untuk meninjau situasi beliau (mangsa) dan sama-sama kita doakan agar anggota berkenaan dapat sembuh,” katanya.


