Angka korban Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat kepada 26

ANGKA korban akibat Taufan Kalmaegi yang melanda tengah Filipina hari ini kini meningkat kepada sekurang-kurang 26 mangsa termasuk kanak-kanak.

Bencana itu menyebabkan seluruh bandar di Pulau Cebu ditenggelami banjir besar, malah terdapat rakaman video menunjukkan kontena kapal turut dihanyutkan arus banjir berlumpur.

“Situasi yang sedang melanda Cebu benar-benar tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Gabenor wilayah berkenaan, Pamela Baricuatro, dalam hantaran melalui Facebook hari ini.

Timbalan Pentadbir di Pejabat Pertahanan Awam, Rafaelito Alejandro berkata, 21 daripada mangsa maut itu dilaporkan di wilayah Cebu yang menyaksikan beberapa bandar ditenggelami banjir.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, kebanyakan mereka meninggal dunia akibat lemas,” katanya kepada AFP.

Pegawai bencana tempatan, Ethel Minoza pula memaklumkan kepada AFP bahawa sekurang-kurang dua mayat kanak-kanak ditemui di Bandar Cebu yang menyaksikan anggota penyelamat bertungkus lumus membantu penduduk yang terperangkap dalam banjir.

Selain itu, seorang warga emas dilaporkan lemas di tingkat atas kediamannya di wilayah Leyte, manakala seorang lelaki maut akibat dihempap sebatang pokok tumbang di Bohol.

Sementara itu, sebuah helikopter tentera Filipina dilaporkan terhempas ketika menjalankan misi bantuan susulan badai Taufan Kalmaegi di Pulau Mindanao hari ini.

Menurut Pusat Kawalan Mindanao Timur dalam satu kenyataan, Helikopter Super Huey terhempas ketika dalam perjalanan ke bandar Butuan untuk menyokong operasi bantuan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img