SEPERTI diduga keghairahan kelompok tertentu dalam Bersatu untuk menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri kini mula mendatangkan kesan negatif kepada parti tersebut apabila Pas dilihat mula bertindak balas.
Tindak balas itu bukanlah bertujuan untuk bermusuh dengan Bersatu tetapi untuk memperingatkan Bersatu bahawa kedua-dua parti berada dalam satu gabungan iaitu Perikatan Nasional (PN). Oleh itu apa sahaja keputusan yang mahu dibuat berkaitan dengan PN mestilah dirunding terlebih dahulu.
Tetapi masalah di dalam Bersatu terdapat kelompok yang begitu ghairah mahu mempertahankan kedudukan politik Muhyiddin walaupun di dalam Bersatu sendiri merasakan ‘taring Abah’ sudah ‘tidak kebah’ lagi.
Kelompok ini mahu ‘Bersatu Menuju Kemenangan’ tetapi mereka sendiri sedang mencipta ‘Bersatu Menuju Kehancuran’ apabila beria-ia mahu memastikan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu meluluskan usul menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.
Apabila ada pemimpin menentang usul seumpama itu, mereka akan dituduh sebagai ‘Si Kitol’ tetapi sekarang lihat apa yang berlaku kepada Bersatu dan Muhyiddin. Pas sudah tidak segan-segan lagi untuk menyatakan pendirian kerana selama ini mereka bersabar dan melihat sahaja gelagat sesetengah pemimpin Bersatu.
Tindakan segelintir pemimpin Bersatu yang gelojoh untuk mencalonkan Muhyiddin tanpa memperdulikan Pas telah memungkinkan tidak balas itu berlaku. Semalam pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas, terlalu banyak isyarat diberikan berhubung kedudukan Pas dalam PN.
Langkah Dewan Pemuda Pas meluluskan usul untuk Pas menerajui PN secara tidak langsung memberi isyarat, mereka menolak Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dan tidak mahu lagi Bersatu berlagak bagaikan abang besar dalam PN.
Penulis membaca beberapa kali isi kandungan usul berkaitan Pas perlu menerajui PN seperti disampaikan Perwakilan Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar. Beliau membentangkannya secara berfakta dan jika sesiapa membandingkan fakta-fakta itu dengan Bersatu sudah pasti mereka akan menyokong Pas.
Berikut penulis ringkaskan apa yang dibentangkan oleh beliau kenapa Pas layak tampil sebagai peneraju PN dan mengemukakan calon Perdana Menteri;
- senioriti Pas sebagai parti tertua iaitu menghampiri 74 tahun berpengalaman dalam politik Malaysia parti ini mempunyai legitimasi, kestabilan dan kapasiti pentadbiran memimpin negara.
- pengalaman mentadbir negeri-negeri utama, kekuatan jentera akar umbi yang mantap, serta konsistensi ideologi dan perjuangan Islam.
- Telah menempuh pelbagai fasa politik daripada menjadi pembangkang kepada memimpin kerajaan negeri, dan kini memainkan peranan penting dalam PN.
- “Pas kini menerima sokongan yang semakin mantap serta mencatat pencapaian kerusi tertinggi dalam sejarahnya, menunjukkan ia semakin relevan dan mendapat mandat rakyat di peringkat nasional.
- “Masa depan politik Malaysia perlu kepimpinan yang bersih, berintegriti, berwibawa.
- senioriti Pas dalam politik Malaysia membuktikan kredibiliti dan kestabilan parti, selain pencapaian politik terkini termasuk 43 kerusi Parlimen dalam PRU-15.
- Penguasaan empat negeri secara langsung (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu), serta 126 kerusi DUN Pas dalam PRN enam negeri, tertinggi dalam PN.
- Pas kini berada pada kedudukan strategik dalam PN dan menampilkan calon Perdana Menteri dari parti akan mencerminkan legitimasi, kekuatan dan peranan utama Pas dalam politik nasional.
Fakta-fakta inilah yang sepatutnya ‘Si Kantoi-Si Kantoi’ dalam Bersatu bentangkan sebelum bernafsu sangat mahu mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan merasakan Bersatu lebih hebat daripada Pas! Penulis menggunakan istilah ‘Si Kantoi’ kerana mereka menggunakan istilah ‘Si Kitol’ bagi mengecam pemimpin dan ahli Bersatu yang tidak sehaluan dengan mereka. Tetapi mereka yang ‘kantoi’ apabila usul calon PM gagal mencapai matlamatnya.
Soalnya sekarang bolehkah puak ‘Si Kantoi’ ini melawan hujah Pas itu? Sedarkah mereka apa yang mereka lakukan bukan sahaja menyusahkan Bersatu tetapi juga memalukan Muhyiddin kerana orang akan anggap beliau kemaruk sangat mahu menjadi Perdana Menteri lagi!
Penulis tidak mengatakan Muhyiddin tidak layak tetapi sekarang bukan masanya dan paling penting kekuatan PN terletak kepada Pas! Tanpa sokongan Pas, tanpa restu Pas, tanpa kerjasama Pas, Bersatu tidak akan menang dalam PRU-16.
Bersatu perlu sokongan ahli Pas, Muhyiddin perlu restu Pas untuk jadi PM dan Bersatu perlukan kerjasama jentera Pas dalam pilihan raya. Kalau begitu keadaannya , Bersatu khususnya kelompok ‘Si Kantoi’ sepatutnya pandai-pandailah membawa diri.
Penulis percaya Pas tidak kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri dan pemimpin ‘tidak lapaq’ pada kedudukan, kalau mereka mahu jadi Perdana Menteri dan kedudukan, sejak awal lagi mereka akan pilih pemimpin Pas untuk jadi Ketua Pembangkang bukannya Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bagi penulis, Pas sudah banyak lagi bersabar dan mengalah, walaupun ada sesetengah tindakan Bersatu, mereka tidak setuju namun mereka tetap tenang demi menjaga perpaduan dalam PN tetapi malangnya dalam Bersatu ada ‘virus cucuk mencucuk’ akhirnya inilah jadinya.
Sepatutnya pemimpin Bersatu menjaga hubungan dengan Pas kerana Bersatu sangat bergantung kepada Pas dalam pilihan raya. Usahlah dok bernostalgia dengan pencapaian dalam PRU-15 atau ketika PN menjadi kerajaan…semua itu sudah berlalu.
Sekarang adalah masa untuk melaksanakan apa yang dinasihatkan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor iaitu, ‘’ Strategi gabungan PN perlu lebih menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada aspek pengukuhan jentera. Kalau pakai modal ada calon Perdana Menteri sahaja tak mampu nak tumbangkan Pakatan Harapan , Barisan Nasional . Kena ada modal lain.’’
Oleh itu kepada segelintir pemimpin dalam Bersatu fikir-fikirkanlah…jangan sampai Bersatu malu, kedudukan abah jadi ‘tak menentu’. Percayalah ‘kata putus’ sudah ada Muhyiddin bukan ‘poster boy’ PN..Kalau tidak percaya sama-sama kita tunggu walaupun dalam politik segalanya berkemungkinan.