‘P.Ramlee : Lagenda Merentas Zaman’ mengenang legasi hebat seorang Seniman Agung

HIBURAN

WALAUPUN  Tan Sri P.Ramlee meninggal dunia 52 tahun lalu dan generasi baru tidak pernah menatap wajah Seniman Agung itu ketika hidup namun legasi yang ditinggalkan Allahyarham terus hidup sehingga ke hari ini.

Anak kelahiran Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 itu, melangkah ke dunia seni melalui nyanyian pada tahun 1945 selepas menduduki tempat ketiga pertandingan nyanyian anjuran Radio Malaya dan seterusnya melangkah ke dunia lakonan melalui filem ‘Chinta’.

Sejak itu, anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim dan Che Mah Hussein terus cemerlang dalam dunia seni tanah air. Sepanjang penglibatan tersebut, Allahyarham bukan sahaja menjadi pelakon tetapi juga pengarah, penyanyi dan pencipta lagu. Allahyarham berlakon dalam 66 buah filem dan mengarah 35 buah serta mencipta 250 buah lagu.

Kembalinya P.Ramlee  ke Rahmatullah pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung ditangisi hampir seluruh rakyat Malaysia. Allayarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada dunia seni tanah air dan sukar dicari ganti seperti mana lagu ciptaan Allahyarham ‘Di mana kan ku cari’.

Sudah pasti tidak mungkin kita akan menemui Seniman Agung seperti Allahyarham.  Atas sebab itulah kehebatan insan istimewa ini perlu terus diingati supaya generasi muda bukan sahaja mengenali nama Allahyarham  tetapi juga hasil seni yang ditinggalkan.

Justeru  penganjuran acara P.Ramlee: Lagenda Merentas Zaman selama tiga hari bermula 30 Ogos hingga 1 September lalu amat tepat sekali lagi. Ia memandangkan karya seni Allahyarham terus diminati bukan sahaja oleh generasi pada zaman Allahyarham tetapi juga generasi muda hari ini.

Langkah syarikat kreatif Manggis dan Jalan Negara Kita menganjurkan acara itu ketika  negara mahu menyambut ulang tahun kemerdekaan secara tidak langsung membolehkan peminat Allayarham mengingatkan kembali filem ‘Sarjan Hassan’ yang diterbitkan pada 1958 iaitu setahun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari British. Filem itu memaparkan perjuangan menentang  penjajahan Jepun.

Acara P.Ramlee: Lagenda Merentas Zaman yang diadakan di  Lorong Seni “Jalan Negara Kita”, Taman Melawati, Kuala Lumpur berjaya menarik kehadiran pengunjung lebih 1,000 orang.  Mereka bukan sahaja terdiri daripada generasi lama dan orang Melayu sahaja tetapi juga dari seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan usia . Ia  bersesuaian dengan filem-filem atau lagu-lagu Allahyarham yang sering menyelitkan penglibatan kaum lain.

Filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee mampu menghiburkan semua peringkat umur.

Kehadiran itu bertepatan dengan objektif acara tersebut iaitu meraikan warisan budaya negara dan memperingati legasi agung Allahyarham P. Ramlee, memperkukuh semangat perpaduan serta identiti kebangsaan melalui seni, budaya dan komuniti serta memberi ruang dan peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penggiat seni dan pemuzik untuk berkarya.

Antara  filem-filem popular Allahyarham ialah Bujang Lapok diterbitkan pada 1957,  Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Seniman Bujang Lapok (1961). Gelagat Ramlee, Aziz, Sudin cukup menghiburkan.

Pengunjung tertarik ketika mengunjungi Pasar Bujang Lapok yang memaparkan hasil karya seni dan merchandise eksklusif  diinspirasikan daripada babak-babak filem P. Ramlee.

Oleh itu  Pasar Bujang Lapok pada acara berkenaan menarik perhatian pengunjung kerana ia  memaparkan  hasil karya seni dan merchandise eksklusif daripada KL Sketch Nation yang diinspirasikan daripada babak-babak filem P. Ramlee.

Pengunjung berpeluang mengetahui kisah, pengalaman dan memori bersama P.Ramlee melalui Sarapan Tiga Abdul iaitu  sesi santai perkongsian antara generasi yang menampilkan jemputan khas, antaranya pelakon senior Norlia Ghani, anak-anak kepada seniman A.R Tompel, keluarga yang mempunyai pertalian rapat dengan P. Ramlee, serta waris kepada rakan karib Allahyarham.

Turut diadakan ialah Malam Lagenda : Persembahan muzik oleh Melawati Symphony Orchestra dan bakat muda dengan lagu-lagu ikonik P. Ramlee dan  Pameran karya seni pelajar The One Academy yang diinspirasikan daripada babak filem P. Ramlee.

Program Legasi Podcast – Sembang-Sambung: siri podcast anjuran Tanahair Filem yang diadakan pada 31 Ogos  bukan sahaja menghiburkan dengan kehadiran Adlin Aman Ramlie dan Dato’ Khai sebagai hos bersama dengan tetamu jemputan Roslan Aziz tetapi juga membolehkan pengunjung mengetahui  secara lebih mendalam perjalanan karier, muzik dan legasi P. Ramlee.

Bagi mereka yang menjalani kehidupan  pada awal tahun 60-an dan 70-an pastinya  pernah merasai pengalaman menonton Wayang Pacak dan memori itu pasti kembali lagi apabila acara Wayang Pacak turut diadakan dengan tayangan filem Tiga Abdul dan Seniman Bujang Lapok.

Sesungguhnya Manggis dan Jalan Negara Kita berjaya menganjurkan satu acara yang julung-julung kali diadakan menjelang kemerdekaan kerana sebelum ini acara bagi meraikan hari bersejarah itu lebih tertumpu kepada artis-artis era kini.

Jika kemerdekaan disambut oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan kaum begitulah juga  karya seni P.Ramlee yang sentiasa diingati biarpun sudah 52 tahun Allahyarham meninggalkan alam fana ini.

Filem-filem Allahyarham menjadi pengajaran sepanjang zaman, lagu-lagunya pula menjadi penghibur sepanjang masa  sebab itulah Allahyarham adalah  ‘’Lagenda Merentas Zaman’’.

Semoga program seumpama itu yang dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Selangor, Pertubuhan Swadaya Malaysia, A.P Art Gallery, Westar The Art Shop, The One Academy, Tanahair Film/Legasi Podcasts, KL Sketch Nation, dan Vibes & Beats Academy berterusan di masa depan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img