Annuar Musa setia bersama Pas, hargai pelawaan UMNO

BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak berhasrat kembali kepada UMNO walaupun parti lamanya itu terbuka menerima bekas ahli tanpa sebarang syarat menerusi gagasan Rumah Bangsa.

Beliau yang kini bersama Pas berkata, tiada sebab untuk beliau meninggalkan parti Islam itu kerana penyertaannya dibuat selepas pertimbangan mendalam berdasarkan prinsip perjuangan yang ingin dibawanya, khususnya berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam.

“Saya rasa Pas adalah perjuangan untuk masa depan … tidak ada sebab bagi saya untuk meninggalkannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas Selangor hari ini.

Menurut Annuar, apa yang penting padanya adalah perjuangan, bukan kedudukan atau tempat dalam mana-mana parti dan beliau mendapati Pas membuka ruang perjuangan yang cukup luas kepadanya dan atas rasa syukur itu, beliau berhasrat untuk kekal berada dalam Pas.

Beliau juga yakin ahli UMNO lain yang menyertai Pas turut akan kekal bersama parti itu.

“Setakat yang saya dengar, tak ada seorang pun yang mahu balik … tak ada seorang pun daripada mereka yang nyatakan hasrat untuk beri sambutan kepada Rumah Bangsa,” katanya.

Annuar menambah, sebelum ini beliau turut menerima pelawaan peribadi daripada rakan-rakan termasuk pemimpin kanan yang mengajaknya bersama inisiatif Rumah Bangsa.

Pelawaan itu dihargainya, namun beliau mendakwa, parti itu masih di bawah kawalan individu tertentu.

“Saya dapati UMNO tidak dikawal oleh prinsip perjuangan dan sehingga sekarang seorang individu yang menentukan hala tuju parti itu.

“Ini sangat berbeza dengan Pas di mana Majlis Syura menjadi keutamaan penting,” katanya yang menyertai Pas sejak Jun 2023.

Mengulas gagasan Rumah Bangsa UMNO, Annuar berkata, Pas terbuka dengan usaha itu termasuk membuktikan komitmennya dengan hadir pada pertemuan bersama lapan parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur Khamis lalu.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img