DALAM era digital yang berkembang pesat, media sosial telah menjadi ruang utama bagi interaksi sosial, pembentukan identiti, serta pertukaran maklumat dalam kalangan generasi muda.
Kehadiran pelbagai platform di media sosial menjadikan remaja bukan sekadar pengguna, tetapi turut menjadi penerbit kandungan yang aktif. Fenomena ini membawa peluang besar untuk ekspresi diri dan pembelajaran sosial, namun pada masa yang sama menimbulkan risiko serius terhadap kesejahteraan mental, pembentukan moral dan keselamatan maklumat.
Lalu timbul persoalan yang sering dikemukakan oleh masyarakat, ibu bapa dan pembuat dasar: adakah menghadkan umur akses media sosial mampu melindungi remaja daripada pengaruh negatif kandungan digital?
Jawapan terhadap persoalan ini memerlukan pemahaman yang lebih mendalam tentang struktur media sosial itu sendiri, sifat perkembangan psikologi remaja dan sejauh mana masyarakat kita bersedia mendidik mereka menjadi warga digital yang matang.
Ia bukan sekadar soal umur kronologi, tetapi berkait rapat dengan umur kematangan digital yakni keupayaan seseorang menilai maklumat, mengawal emosi dan memahami implikasi sosial setiap tindakan dalam talian.
1. Keterbatasan Had Umur Sebagai Benteng Perlindungan
Sebahagian besar platform media sosial menetapkan umur minimum 13 tahun bagi pendaftaran akaun, selaras dengan Akta Perlindungan Privasi Kanak-kanak dalam talian (COPPA) di Amerika Syarikat.
Namun, had umur ini bersifat mekanikal dan bergantung sepenuhnya kepada pengisian tarikh lahir oleh pengguna sendiri. Dalam konteks ini, ia menjadi benteng simbolik yang mudah dibolosi.
Kajian UNICEF (2023) mendapati lebih 40 peratus pengguna TikTok berusia di bawah had umur rasmi, sementara sebahagian besar daripada mereka mengakses media sosial melalui akaun yang dicipta dengan bantuan ahli keluarga sendiri.
Hakikat ini menunjukkan bahawa pelaksanaan had umur tidak menyelesaikan masalah akar kerana ia beroperasi atas anggapan bahawa risiko media sosial dapat dikawal melalui penangguhan umur, sedangkan cabaran sebenar terletak pada bentuk interaksi dan kefahaman pengguna terhadap kandungan.
Ia juga mengandaikan bahawa selepas mencapai umur tertentu, individu akan secara automatik menjadi lebih berupaya menilai maklumat iaitu satu tanggapan yang tidak selari dengan realiti psikologi dan sosiobudaya masa kini.
2. Dimensi Psikologi: Otak Remaja dan Kitaran Ganjaran Algoritma
Dari perspektif psikologi perkembangan, remaja adalah kelompok yang sedang melalui fasa eksplorasi identiti dan keinginan diterima oleh rakan sebaya. Bahagian otak yang mengawal pertimbangan moral dan kawalan impuls, iaitu prefrontal cortex, masih dalam proses pembentukan sehingga usia awal dua puluhan. Keadaan ini menjadikan remaja mudah terdedah kepada pengaruh luar, terutama yang memberi ganjaran emosi segera.
Media sosial, melalui algoritma yang direka untuk memaksimumkan masa tontonan, telah memanipulasi mekanisme ini dengan memberikan rasa atau gelombang keseronokan melalui notifikasi, likes dan shares.
Setiap bentuk pengiktirafan digital mencetuskan rasa puas sementara yang mengukuhkan tingkah laku berulang, satu bentuk ketagihan psikologi yang kini diiktiraf oleh pakar kesihatan mental sebagai gangguan tingkah laku digital (digital behavioral addiction).
Kesan jangka panjangnya amat ketara: peningkatan keresahan sosial, gangguan tidur, gangguan imej diri, serta kecenderungan membandingkan diri secara toksik dengan orang lain.
Oleh itu, walaupun had umur boleh menunda pendedahan kepada platform, ia tidak mendidik remaja untuk menilai dan menahan diri apabila berdepan dengan kandungan yang menggoda secara emosi dan visual.
3. Aspek Sosio-Kultural: Keluarga, Sekolah dan Ruang Ketiga Digital
Remaja hari ini membesar dalam persekitaran di mana sempadan antara dunia fizikal dan maya hampir lenyap. Hubungan sosial mereka terjalin di dalam Kumpulan borak, ruang komen dan siaran langsung.
Bagi sesetengah remaja, media sosial bukan lagi alat komunikasi, tetapi ruang kewujudan sosial utama. Maka, melarang atau menghadkan akses tanpa pendidikan nilai hanya akan menimbulkan konflik generasi antara ibu bapa yang melihat media sosial sebagai ancaman dan anak muda yang menganggapnya sebagai bahasa sosial baharu.
Kelemahan paling ketara dalam konteks Malaysia ialah kekurangan pendekatan menyeluruh di peringkat institusi keluarga dan pendidikan. Ramai ibu bapa tidak mempunyai kefahaman mendalam tentang cara algoritma berfungsi dan bagaimana kandungan yang dilihat anak-anak ditentukan oleh sejarah tontonan serta interaksi mereka.
Sementara itu, sistem pendidikan pula belum menjadikan literasi media dan etika digital sebagai komponen wajib dalam kurikulum nasional. Subjek seperti Pendidikan Islam atau Moral masih berorientasikan nilai umum tanpa mengaitkannya dengan konteks komunikasi digital, sedangkan cabaran moral paling mendesak kini berlaku dalam ruang siber.
Akibatnya, remaja belajar tentang makna populariti, jantina, kuasa dan kebenaran bukan melalui guru atau ibu bapa, tetapi melalui pempengaruh, kandungan viral dan algoritma. Keadaan ini membentuk budaya digital yang tidak dipandu, di mana perhatian lebih bernilai daripada kebenaran dan provokasi lebih cepat tersebar daripada rasional.
4. Menilai Kegagalan Struktur: Tanggungjawab Platform dan Dasar Awam
Masalah ini tidak boleh dipersalahkan kepada ibu bapa semata-mata. Syarikat teknologi juga mempunyai tanggungjawab moral yang besar dalam membentuk ekosistem digital yang selamat.
Kajian oleh European Digital Media Observatory menunjukkan bahawa 60 peratus kandungan berisiko tinggi, termasuk gangguan seksual, ideologi ekstrem dan cabaran berbahaya disebarkan melalui algoritma yang mengutamakan kadar tontonan, bukan keselamatan pengguna.
Platform media sosial sering menegaskan komitmen mereka terhadap keselamatan remaja, namun pelaksanaannya masih terhad. Mekanisme pelaporan kandungan tidak efisien, pengesahan umur longgar dan garis panduan komuniti sering dikuatkuasakan secara tidak konsisten.
Maka, dasar awam perlu menuntut akauntabiliti algoritma yang lebih tinggi. Malaysia misalnya boleh meneladani pendekatan Kesatuan Eropah yang memperkenalkan Digital Services Act (2024), mewajibkan syarikat platform untuk melaporkan cara algoritma mereka mengurus kandungan dan kesannya terhadap pengguna muda.
5. Solusi Berasaskan Pendidikan dan Literasi Media
Walau bagaimanapun, penyelesaian jangka panjang bukan sekadar pada perundangan, tetapi pada pembentukan daya tahan moral dan intelektual dalam kalangan remaja. Di sinilah letaknya keperluan pendidikan literasi media yang menyeluruh.
Literasi media bukan hanya tentang membezakan berita benar dan palsu, tetapi tentang membaca dan memahami makna, kuasa dan niat di sebalik setiap kandungan. Ia melibatkan kemahiran menyoal: siapa penghasil mesej, apa tujuannya, bagaimana emosi dimanipulasi dan apakah akibat sosialnya.
Program pendidikan seumpama ini boleh digabungkan dengan latihan empati digital iaitu kesedaran bahawa setiap komen, perkongsian atau hantaran membawa kesan kepada orang sebenar di sebalik skrin.
Melalui pendidikan yang berasaskan nilai dan refleksi, remaja bukan sahaja dilindungi, tetapi turut diperkasakan untuk menjadi penghasil kandungan yang bertanggungjawab.
Selain sekolah, peranan media arus perdana perlu diubah daripada sekadar memberi amaran kepada berfungsi sebagai agen pencerahan.
Media tempatan harus memperbanyakkan liputan tentang literasi digital, kesedaran emosi dan isu keselamatan siber dengan bahasa yang mudah difahami oleh keluarga dan masyarakat. Dengan cara ini, media menjadi penghubung antara dunia digital dan dunia sosial yang beretika.
6. Mencari Keseimbangan: Umur Kronologi vs. Umur Kematangan Digital
Melindungi remaja bukan bermakna menyingkirkan mereka daripada ruang digital, tetapi membimbing mereka untuk berfungsi secara matang di dalamnya.
Dunia hari ini tidak memungkinkan isolasi digital; maka pendekatan realistik ialah membina kebijaksanaan digital yang progresif, bermula di rumah dan diperkuat melalui sistem pendidikan.
Had umur boleh kekal sebagai langkah teknikal, tetapi hanya berkesan apabila disertai dengan pemahaman mendalam terhadap risiko dan nilai yang ingin dibina. Kematangan digital bukan hasil daripada angka umur, tetapi daripada latihan kognitif dan moral yang berterusan. Ia lahir apabila remaja mampu memahami hubungan antara tindakan dan akibat, antara ekspresi diri dan tanggungjawab sosial.
7. Rumusan
Had umur akses media sosial tidak mampu menjadi penyelesaian tunggal kepada cabaran perlindungan remaja dalam era digital. Ia hanyalah permulaan yang mudah dibuka tanpa bimbingan.
Perlindungan sebenar terletak pada gabungan empat elemen utama: pendidikan literasi media yang berstruktur, empati digital yang diajar sejak sekolah rendah, tanggungjawab korporat yang telus dan kesedaran masyarakat yang kolektif.
Tanggungjawab ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, bukan ibu bapa, bukan guru, bukan syarikat teknologi semata-mata tetapi untuk membentuk ekosistem bersama yang mendidik, bukan menghukum.
Apabila masyarakat mampu melihat isu ini bukan sekadar sebagai ancaman tetapi sebagai peluang pendidikan, barulah kita dapat melahirkan generasi muda yang bukan sekadar celik teknologi, tetapi berminda teknologi dan berhati manusia.
*Dr.Haji Ainol Amriz Ismail merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI).
UNDILAH |