DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas pihak yang sengaja menggunakan kenyataan beliau dahulu untuk menyerang kerajaan dalam isu kenaikan harga minyak.
Sambil menyifatkan apa yang dilakukan oleh pihak berkenaan sebagai mengamalkan politik dangkal, Perdana Menteri berkata, mereka sengaja mengabaikan fakta dan konteks semasa, termasuk perubahan harga minyak global.
‘’Tindakan itu mengelirukan rakyat serta menjejaskan kepercayaan terhadap sistem politik. Kenyataan (saya) mengenai harga minyak dibuat ketika itu harga minyak dunia jauh lebih rendah, termasuk di Arab Saudi sekitar 50 sen seliter.
“Sekarang semua negara pengeluar minyak termasuk Emiriah Arab Bersatu telah menaikkan harga susulan faktor global, tetapi perkara ini tidak diambil kira. Sebaliknya dimainkan sentimen untuk memperbodohkan rakyat,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar bersama warga Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), di Kuala Kangsar.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan masih mengekalkan bantuan bersasar, termasuk subsidi diesel kepada golongan nelayan dan petani bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
Bagaimanapun dalam ucapan itu Anwar mengakui wujud defisit kepercayaan terhadap institusi politik, namun menegaskan usaha pembaharuan sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Perubahan tidak boleh dilakukan sekelip mata kerana ia melibatkan sistem yang kompleks. Kita bukan kerajaan diktator, setiap keputusan perlu melalui rundingan termasuk dengan rakan dalam kerajaan perpaduan,” katanya.
Dalam ucapan itu, beliau turut menyeru pelajar agar bangkit mempertahankan kebenaran serta menangkis penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial.
“Anak-anak yang cerdas harus bangkit memberi penjelasan, bukan sekadar terikut dengan naratif yang tidak berasaskan fakta,” katanya.


