KETUA Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, hari ini mengecam tindakan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang melaksanakan latihan komando di dalam Masjid Kampung Rusila, Marang pada 29 September lalu tanpa kelulusan pihak pengurusan masjid sehingga menimbulkan ketakutan kepada jemaah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata kejadian pada pukul 10 pagi itu berlaku apabila sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan dalam keadaan mencurigakan menyerbu masuk ke dalam masjid berkenaan.
“Apabila ditegur oleh orang ramai yang berada di situ mereka menjawab kami polis. Masuk dalam masjid pakai kasut, masuk kawasan (solat) perempuan dan mengadakan penggeledahan dan sebagainya menimbulkan rasa cukup tidak senang dalam kalangan rakyat yang berada di situ.
“Saya pun ada banyak dokumen dan video yang diambil daripada rakaman CCTV masjid mengenai kejadian itu, sekumpulan orang ini keadaan mencurigakan menyerbu masuk ke dalam masjid,’’ katanya.
Beliau berkata, apabila pihak pengurusan masjid membuat laporan polis di Balai Polis Marang, satu dokumen daripada APMM ditemui ditujukan kepada pihak tertentu bertajuk ‘Pemakluman Latihan Pelarian dan Pelolosan (SERE) Kursus Asas Komando Star Team Seri 1/2025’, disebutkan apa yang berlaku itu adalah latihan komando APMM dalam sebuah masjid, tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid
“Apa ini? Adakah itu SOP KDN? Kalau saya kebetulan berada di situ, kalau saya memiliki atau membawa senjata api yang saya lesen, saya akan, I will open fire, saya akan tembak, kalau itu ancaman yang berlaku dalam sebuah masjid, apakah ini gara-gara ulangan peristiwa Memali tahun 1985? Penyerangan terhadap tempat suci dan rumah ibadat rakyat.
“Ini bukan kerana masjid, kalau ini berlaku dalam satu gereja atau dalam satu tempat pun, kami menentang perkara ini berlaku, apa latihan komando dibuat di tempat ibadat rakyat Malaysia?
“Apa benda latihan komando dibuat di dalam rumah ibadat rakyat Malaysia. Nama pun APMM, apa cerita? Pergilbuat serbuan, latihan atas darat…pergi la ke laut..ini maritim… Ini kita cukup pelik, benda-benda pelik di bawah KDN, with due respect. Saya mohon perkara-perkara ini diberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada pihak kerajaan,” tegasnya.
Ahli Parlimen Awang Hashim (PN-Pendang) pula jika terdapat kemungkinan perancangan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang berada di Masjid Rusila pada masa kejadian.
Takiyuddin bagaimanapun menolak membuat andaian sedemikian, tetapi tetap mempersoalkan mengapa latihan seumpama itu mesti diadakan di Rusila dan bukannya di lokasi latihan khas agensi maritim.
“Kita tidak membuat andaian lah, tetapi kenapa Marang? Kenapa Rusila? Kenapa masjid? Ini APMM, bukan komando tentera darat..Kalau latihan komando, buatlah di laut. Ini pelik. Saya ada semua dokumen..saya bertanggungjawab terhadap apa yang saya katakan,’’ tegasnya sambil mempersoalkan adakah ia tindakan mahu menaku-nakutkan rakyat negara ini.
UNDILAH |