BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan dengan penganugerahan kontrak bernilai RM178.29 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan adiknya, Datuk Nasir Baki.
Menurut Azam, beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara tersebut.
“Itu urusan perniagaannya. Jadi, adakah ini bermaksud sesiapa yang mempunyai kaitan dengan saya akan dipersoalkan?.
“Saya sudah bersara dan terpulang kepada kementerian untuk menganugerahkan projek itu kepada syarikatnya,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Azam diminta mengulas laporan The Edge Malaysia yang mendakwa Integriti Padu Sdn Bhd memperoleh kontrak selama enam tahun bagi membangunkan dan mengendalikan sistem Road Charge dan Vehicle Entry Permit (RC/VEP) di sempadan Malaysia-Singapura.
Azam yang bersara sebagai pada 12 Mei lalu turut mempertahankan keluarganya dengan menyatakan mereka tidak seharusnya menjadi sasaran hanya kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.
“Keluarga saya semuanya baik. Saya juga mempunyai seorang adik perempuan yang merupakan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) yang terkenal di negara ini.
“Adakah ini bermaksud dia juga akan menjadi perhatian?,” ujarnya.
Menurut laporan The Edge, Kementerian Pengangkutan menganugerahkan kontrak bernilai RM178.29 juta itu kepada syarikat terbabit pada 26 Mei selepas proses permintaan cadangan (RFP) yang dikeluarkan pada Jun tahun lalu.






