Apabila pemimpin Arab terus membisu maka lahirlah insan seperti Abdul Mutalib

Wahai anak-anak bangsa kita, sampai bila kita akan terus berdiam diri terhadap mereka yang menjajah tanah itu (Palestin)? Adakah kita akan kekal membisu sehinggalah mereka sampai ke tanah kita dan mencemari kesucian kita?’’ – Abdul Mutalib al-Qaisi

KETIKA dunia Arab dilihat tidak berbuat apa-apa terhadap pencerobohan Israel ke atas bumi Palestin, ketika pemimpin Arab hanya sekadar mengecam dan memberi amaran terhadap kekejaman rejim Zionis membunuh lebih 65,000 rakyat Palestin dan menghancurkan bumi Gaza, Khamis lalu, muncul insan bernama Abdul Mutalib Al-Qaisi.

Abdul Mutalib atau nama penuhnya Abdul Mutalib Hassan Zaidan Al-Nuaimi Al-Qaisi menjadi sebutan penduduk Arab apabila dia yang bekerja sebagai pemandu lori menghantar bantuan makanan kepada rakyat Palestin telah membunuh dua tentera Israel termasuk salah seorang berpangkat leftenan kolonel di Allenby Crossing yang menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan.

Media Jordan melaporkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang (pukul 8 malam waktu Malaysia) pada Khamis lalu apabila Abdul Mutalib melepaskan tembakan ke arah tentera Zionis sebelum lorinya sempat diperiksa.

Apabila pistol mengalami kerosakan, Abdul Mutalib keluar dari kenderaan itu dan menikam kedua-dua anggota tentera itu sehingga mati, sebelum dia dibunuh oleh tentera Israel.  Seperti biasa tentera Zionis menuduh Abdul Mutalib adalah pengganas.

Sehubungan itu mereka mengambil kesempatan menjadikan tindakan Abdul Mutalib untuk mengepung kawasan kejadian dan Tebing Barat kononnya memburu individu yang mungkin bersama Allahyarham.

Tetapi sebenarnya, Abdul Mutalib bertindak sendirian dan ikhlas mahu membela nasib rakyat Palestin kerana Allah SWT. Dalam nota terakhir sebelum dia melakukan tindakan itu. Abdul Mutalib menulis;

‘’Keluarga tercinta di Jordan, di tanah air, saudara-saudaraku yang dikasihi dari bangsa Arab dan umat Islam, serta seluruh insan mulia dan merdeka di mana jua—khususnya anak-anak suku dan bandar Arab yang mulia di Syam, dari Jordan ke Palestin, Syria, dan Lubnan:

‘’Saya ingin merakamkan pendirian saya di hadapan Allah dan sejarah, menyertai syahid wira Maher Al-Jazi, dan kami meneruskan wasiatnya yang abadi. Jenayah yang dilakukan oleh penjajah Zionis di Semenanjung Gaza suatu hari nanti akan berulang di negara kita, terhadap rumah kita, wanita dan anak-anak kita. Diam kita menjadikan kita sebahagian daripada projek musuh yang mereka gelarkan “Israel Raya.

‘’Wahai anak-anak bangsa kita, sampai bila kita akan terus berdiam diri terhadap mereka yang menjajah tanah itu (Palestin)? Adakah kita akan kekal membisu sehinggalah mereka sampai ke tanah kita dan mencemari kesucian kita?’’

Pemerintah Jordan mengesahkan Abdul Mutalib yang baru bekerja tiga bulan sebagai pemandu lori menghantar bantuan ke Gaza tidak terlibat mana-mana kumpulan pejuang. Namun demi menjaga kepentingan perdagangan dengan Israel, Jordan mengutuk dan tidak bersetuju dengan  serangan itu serta menganggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, kepentingan Jordan dan kemampuan negara itu untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun  penduduk Arab memuji keberanian Abdul Mutalib yang sanggup mengorbankan nyawanya demi memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Bagi mereka, tindakan Abdul Mutalib itu adalah isyarat kepada pemimpin Arab yang tidak membuat apa-apa menghentikan kekejaman Israel.

 

Dalam kalangan rakan-rakannya Abdul Mutalib yang dipanggil Abu Isa adalah seorang yang tenang, tidak mempunyai rekod jenayah dan  tidak pernah menjalani latihan ketenteraan.

Nama Maher Al-Jazi yang disebut oleh Abdul Mutalib dalam nota terakhir itu ialah seorang pemandu lori berusia 39 tahun yang setahun lalu pada 8 September 2024  menembak mati tiga warga Israel yang bekerja di terminal kargo di Lintasan Allenby. Ketiga-tiga mereka adalah pendatang haram Israel yang menduduki tanah rakyat Palestin di Tebing Barat.

 Tindakan Kementerian Luar  Jordan mengutuk tindakan Abdul Mutalib membuktikan negara itu lebih mementingkan hubungan perdagangan dengan Israel. Mereka bimbang kejadian itu boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Sedangkan masyarakat Arab menegaskan, sikap pemerintah Arab seperti Jordan lah menyebabkann muncul hamba Allah seperti Abdul Mutalib.

Hamas tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, namun memuji tindakan Abdul Mutalib dan menyifatkannya sebagai “mesej yang jelas terhadap “dasar genosid, aneksasi, dan penempatan” yang dilakukan oleh Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Hamas menambah bahawa serangan tersebut membuktikan tekad rakyat di wilayah itu “lebih kuat daripada mesin penindasan dan keganasan,” serta menegaskan bahawa usaha untuk mengasingkan rakyat Palestin daripada persekitaran Arab dan Islam akan gagal.

Mungkin tindakan Abdul Mutalib tidak akan mampu menghentikan  kegilaan rejim Zionis di bumi Palestin tetapi ia sekurang-kurangnya memberi mesej yang jelas kepada pemimpin-pemimpin Arab bahawa ramai lagi insan seperti Abdul Mutalib akan muncul.

Sesungguhnya pemandu lori seperti Abdul Mutalib lebih mendalam keprihatinannya kepada saudara seagama di bumi palestin dan jauh lebih berani menentang rejim Zionis berbanding pemimpin negara. Abdul Mutalib bukan pengganas dan Abdul Mutalib bukan pembunuh tetapi Abdul Mutalib biarpun seorang warganegara Jordan namun dia adalah pejuang sejati yang rela mati demi membela rakyat Palestin.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img