SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini melancarkan aplikasi MCMC NEXUS bagi membantu pengguna memantau kualiti perkhidmatan internet secara lebih tepat dan telus.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, aplikasi itu membolehkan pengguna menjalankan ujian kelajuan, merekod liputan rangkaian sepanjang perjalanan serta menilai kekuatan isyarat di dalam dan luar bangunan.
Selain itu katanya, pengguna boleh menggunakan data daripada aplikasi NEXUS sebagai bukti untuk mengemukakan aduan rasmi kepada MCMC.
“MCMC sudah tentu selepas menerima laporan daripada pengguna aplikasi ini, akan memanjangkan masalah yang timbul kepada syarikat telekomunikasi yang terlibat supaya syarikat berkaitan boleh mengambil tindakan lanjut.
“Ia sama ada memang satu kawasan (yang dilaporkan) mempunyai penduduk memang tidak ramai atau kawasan pendalaman, mungkin itu kita perlu masukkan dalam rancangan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa 2,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pelancaran aplikasi MCMC NEXUS di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez dan Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Nie Ching berkata, data yang dikumpul membantu MCMC mengenal pasti kawasan yang mempunyai masalah liputan, sama ada di kawasan dengan kepadatan penduduk mahupun lokasi terpencil.
Menurut beliau, sekiranya sesuatu kawasan mencatatkan prestasi di bawah standard mandatori, tindakan lanjut akan diambil terhadap syarikat telekomunikasi terlibat.
Dalam masa sama, Nie Ching memberi jaminan aplikasi berkenaan tidak mengumpul maklumat peribadi pengguna dan telah mendapat pengesahan daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
Beliau turut menjelaskan pengguna masih boleh membuat aduan melalui saluran sedia ada seperti laman web, emel dan WhatsApp, namun penggunaan aplikasi itu memberikan bukti teknikal yang lebih tepat.


