MENTERI Luar Iran, Abbas Araqchi, mengecam Amerika Syarikat (AS) dengan menuduh wujudnya “penguasaan negara” (state capture) oleh lobi pro-Israel, susulan pendedahan bahawa justifikasi Rumah Putih untuk berperang dengan Iran didakwa diciplak daripada sebuah badan pemikir yang mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan pro-Israel.
Dalam hantaran di akaun X miliknya, Araqchi merujuk kepada satu dokumen 44 perkara yang diterbitkan oleh Rumah Putih pada Mac 2026.
Beliau berkata, para penganalisis mengesahkan bahawa dokumen itu diambil hampir sepenuhnya daripada laporan yang dihasilkan oleh Foundation for Defense of Democracies (FDD), sebuah badan pemikir yang menurutnya ditubuhkan untuk “meningkatkan imej Israel di Amerika Utara”.
Dalam respons keras terhadap penganalisis Stephen McIntyre, Araqchi membedah kenyataan Washington bertarikh 2 Mac 2026 bertajuk “The Iranian Regime’s Decades of Terrorism Against American Citizens”, dengan mendakwa ia sebenarnya merupakan dokumen yang diciplak daripada laporan asal yang disediakan oleh bekas pegawai American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) untuk kumpulan advokasi Israel.
Araqchi turut mengutuk tindakan tersebut sebagai satu penipuan yang disengajakan oleh kerajaan AS.
Beliau berkata, ;“Dalam sains politik, terdapat istilah untuk ini, iaitu ‘state capture’, dan inilah yang rakyat Amerika undi untuk ditamatkan.”
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap pendedahan oleh McIntyre, yang mendapati bahawa senarai 44 insiden “keganasan” yang dikaitkan dengan Iran—termasuk dakwaan menyebabkan 992 kematian rakyat AS—telah disalin hampir sepenuhnya daripada laporan FDD bertarikh 19 Jun 2025.
Laporan tersebut ditulis oleh Tzvi Kahn, seorang bekas kakitangan AIPAC, dan diterbitkan hanya dua hari sebelum serangan udara pertama AS ke atas Iran pada 21 Jun 2025.
Menurut hasil siasatan itu, tiada satu pun dakwaan dalam kenyataan Rumah Putih disandarkan kepada sumber risikan rasmi AS—berbeza dengan kontroversi terdahulu seperti Perang Iraq 2003.
Sebaliknya, keseluruhan senarai tersebut didakwa diambil terus daripada laporan FDD, dengan hanya sedikit perubahan yang dipercayai bertujuan untuk menguatkan tuduhan terhadap Iran.


