Aspirasi Nuklear Negara: Malaysia teliti potensi ke arah bekalan tenaga mampan

FOKUS 

SEJAK tahun 2024, eksplorasi tenaga nuklear di Malaysia semakin rancak dan nama yang paling banyak dikaitkan dengan perubahan arah baharu ini ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof.

Menerusi PETRA, Malaysia melihat kembali perancangan secara tersusun untuk mengkaji secara mendalam potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada masa depan tenaga negara. Langkah ini signifikan menerusi sokongan beberapa keputusan dasar penting kerajaan.

Antaranya, Fadillah telah mengumumkan bahawa Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPOWER) Corporation kini menjadi Nuclear Energy Programme Implementing Organisation (NEPIO) Malaysia, iaitu organisasi yang bertanggungjawab merancang, menyelaras dan menjalankan segala kajian berkaitan tenaga nuklear.

Berdasarkan laporan media, MyPOWER akan menyelaras keseluruhan proses penilaian teknikal dan komersial, perundangan dan sosial sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan mengenai loji nuklear untuk penjanaan elektrik di Malaysia.

Mandat yang diberi kepada MyPOWER sebagai NEPIO adalah langkah yang secara teknikalnya menandakan Malaysia sudah memasuki fasa awal program nuklear yang sah dan berstruktur.

Mengapa Malaysia memilih untuk membuka kembali fail nuklear? Menurut laporan The Star bertarikh 24 Julai 2025, kerajaan melihat keperluan jangka panjang untuk memastikan campuran tenaga negara lebih bersih, stabil dan berdaya tahan.

Permintaan tenaga dijangka naik mendadak akibat pertumbuhan pusat data, elektrifikasi industri dan pembangunan ekonomi berintensif tenaga. Fadillah menjelaskan bahawa Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada sumber seperti solar dan hidro kerana ketidaktentuan bekalan.

Justeru, tenaga nuklear sedang dikaji sebagai salah satu penyelesaian yang berpotensi menyokong sasaran net-zero karbon menjelang 2050.

Fadillah turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan membuat keputusan terburu-buru. Beliau mengulangi bahawa sebarang keputusan mengenai pembinaan loji nuklear hanya akan diputuskan selepas 2030, bergantung kepada hasil kajian kebolehlaksanaan dan penerimaan masyarakat.

Menurut laporan World Nuclear News pada 19 Ogos 2025, kajian pra-kebolehlaksanaan telah pun dimulakan dan mengenal pasti pilihan teknologi nuklear yang paling sesuai dengan keperluan tenaga negara termasuk analisis teknologi reaktor modular kecil (SMR).

Semua analisis ini diselaraskan mengikut piawaian International Atomic Energy Agency (IAEA), seiring dengan prinsip Malaysia yang berpegang kepada keutamaan keselamatan dan ketelusan antarabangsa.

Fadillah Yusof menghadiri ASEAN-Korea Sustainable Nuclear Energy Cooperation Forum 2025 yang berlangsung bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.

Fadillah turut menekankan pembangunan modal insan dan mahu melihat Malaysia memasuki bidang nuklear dengan kepakaran yang mencukupi. Justeru katanya, kerajaan sudah memulakan kerjasama akademik, latihan serta perkongsian maklumat dengan negara yang mempunyai pengalaman dalam nuklear seperti Korea Selatan, Perancis, Amerika Syarikat dan Jepun.

Ini termasuk latihan jurutera, pengawal selia, saintis nuklear dan pembentukan kerangka undang-undang yang kukuh. Usaha ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pakar luar apabila tiba masa membangunkan industri nuklear dalam negara.

Dari sudut dasar, tenaga nuklear bukanlah projek terpencil. Ia sebahagian daripada rangka strategi National Energy Transition Roadmap (NETR), dokumen rasmi kerajaan yang dikeluarkan pada 2023 dan dikemaskini berterusan untuk menyokong peralihan ke tenaga rendah karbon.

Fadillah menegaskan bahawa apa sahaja yang dilakukan mesti selari dengan sasaran NETR, dasar tenaga negara 2022-2040, serta komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris. Ini menunjukkan nuklear bukan keputusan politikal, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang negara.

Melalui kerangka kerja, kajian, pembentukan institusi, kerjasama antarabangsa dan kesediaan dasar Malaysia kini berada pada landasan yang paling tersusun dalam sejarah negara untuk menuju ke arah itu teknologi nuklear moden.

Kesimpulannya, inisiatif yang dipimpin oleh Fadillah ini meletakkan asas kukuh bagi Malaysia melangkah ke arah tenaga baharu ini seterusnya selamat dan patuh piawaian antarabangsa.

Jika segala kajian menunjukkan hasil positif, modal insan mencukupi dan rakyat dapat diyakinkan bahawa nuklear selamat, Malaysia berpotensi muncul sebagai negara ASEAN pertama yang memiliki kerangka nuklear paling mantap.

Kalau hari ini adalah titik permulaan, jalan ke hadapan memerlukan kesabaran, ketelitian dan komitmen jangka panjang. Tetapi asasnya sudah diletakkan, dan ia diletakkan dengan cara yang saintifik, telus dan bertanggungjawab.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img