POLIS tidak membenarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadualkan diadakah di kompleks membeli-belah Sogo pada malam ini berikutan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan risiko berlakunya gangguan ketenteraman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihak polis menerima surat pemakluman daripada penganjur pada 3 Februari lepas mengenai hasrat untuk mengadakan perhimpunan aman itu pada pukul 8 malam, hari ini.
Beliau berkata, polis telah menjalankan risikan keselamatan serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan termasuk pemilik premis sekitar lokasi berkenaan, selain mengadakan perbincangan bersama penganjur pada 5 Februari lalu.
Bagaimanapun semalam polis menerima surat bantahan daripada pengurusan Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons dan premis sekitar menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang dijangka berada di kawasan tersebut sempena musim perayaan.
“Polis turut menerima maklumat bebas yang menunjukkan kemungkinan berlakunya pecah keamanan serta ancaman keselamatan kepada orang ramai ekoran jangkaan kehadiran ramai pengunjung di kawasan berkenaan.
“Setelah membuat pertimbangan dan risikan keselamatan, pihak polis menjangkakan perhimpunan ini boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang awam, justeru keputusan dibuat untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu keselamatan awam.
Beliau menegaskan polis akan terus memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam sentiasa diutamakan di kawasan tersebut.


