PASUKAN Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 menjadi kontinjen terakhir Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan menyertai misi Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) selepas pembabitan sejak 2007.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, sudah tiba masa bagi Malaysia menyerahkan tanggungjawab mempertahankan keamanan di Lubnan kepada pihak tempatan selepas hampir dua dekad penyertaan dalam misi berkenaan.
“Selepas MALBATT yang ke-13, sudah tiba masa untuk kita menyerahkan tanggungjawab mempertahankan negara Lubnan itu kepada mereka sendiri.
“Selain itu, pada kali ini selepas beberapa tahun, baru kita mendapat sijil pengiktirafan daripada United Nations (UN) berkaitan pusat pengaman kita,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan istiadat Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-13 di Pangkalan Udara Subang, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di Subang, Selangor hari ini.
Katanya, pembabitan ATM dalam misi UNIFIL sejak 2007 menjadi sejarah membanggakan apabila Malaysia dan Brunei diiktiraf sebagai pasukan pengaman berdisiplin dan berintegriti tinggi di bumi Lubnan.
“Sejak tahun 2007, MALBATT mencipta sejarah yang membanggakan.
“Nama Malaysia dan Brunei dikenali di bumi Lubnan bukan kerana kekuatan senjata, tetapi kerana kekuatan hati,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi apabila pernah mengetuai pasukan itu pada awal penugasan.
“Saya berasa amat bangga kerana saya juga adalah bekas komander MALBATT 2 yang berkekuatan hanya 450 orang sahaja ketika itu,” katanya.
Untuk rekod, kontinjen MALBATT 850-13 ke Lubnan akan dilaksanakan dalam empat fasa bermula 5 hingga 17 November 2025, membabitkan keseluruhan 532 anggota manakala kepulangan Kontinjen MALBATT 850-12 dari Lubnan ke Malaysia turut dijadualkan dalam empat fasa dari 6 hingga 18 November 2025 membabitkan 852 anggota keseluruhan.
Kesemua penerbangan akan menggunakan pesawat AirAsia, dengan pergerakan MALBATT 850-13 berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri, Beirut, Lubnan manakala MALBATT 850-12 akan pulang ke tanah air menggunakan pesawat sama.
UNDILAH |



