Azam Baki dilantik Profesor Adjung UTeM

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi bagi Program Doktor Falsafah (PhD) PIPK di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2025 hingga 30 November 2027.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Azam menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung kerana latar belakang beliau yang memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang serta pengalaman luas dalam bidang integriti dan pencegahan rasuah.

Menurut beliau, ketika ini lebih 20 alumni UTeM berkhidmat dengan SPRM dan ini membuktikan betapa relevannya bidang teknologi serta kejuruteraan dengan pencegahan rasuah.

“Kami juga berhasrat untuk menubuhkan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di UTeM pada tahun ini sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan mempromosikan budaya antirasuah di kalangan pelajar,” katanya.

Surat pelantikan itu disampaikan oleh Dr Massila ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Azam berkata, kebanyakan pelajar dalam bidang kejuruteraan atau teknologi lebih cepat belajar dan fokus khususnya bagaimana sesuatu perkara itu boleh diselesaikan secara objektif serta cenderung kepada pemikiran menyelesaikan masalah.

“Kita mahu pelajar kejuruteraan ini bukan hanya tahu tentang teknikal dan teknologi, tetapi juga hala tuju. Mereka perlu tahu ke mana hendak pergi selepas tamat pengajian bukan hanya sekadar tamat belajar, tetapi bersedia menjadi penyumbang pada masa depan dan berhadapan dengan masyarakat mahupun kerjaya.

“Ini penting kerana kita perlukan lebih ramai individu seperti ini untuk bekerjasama dengan bidang lain dan membangunkan negara secara menyeluruh,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img