TIMBALAN Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang diburu pihak berkuasa negara dipercayai ‘lesap’ sejurus dijatuhkan hukuman penalti RM4.1 juta oleh mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memberitahu, Adam Radlan bebas ke luar negara selepas hukuman mahkamah berkenaan.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan di mana destinasi Adam Radlan, setakat ini.
“Beliau sebelum ini disiasat berkait projek Jana Wibawa dan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penalti sebanyak RM4.1 juta terhadapnya, dia meninggalkan negara,” katanya kepada Berita Harian.
Semalam, Azam mengesahkan, SPRM sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Imigresen berhubung status pasport ahli perniagaan itu.
Bagaimanapun, Azam tidak mendedahkan sama ada dokumen perjalanan antarabangsa itu sudah dibatalkan.
SPRM sebelum ini mengesahkan, ahli politik berusia 44 tahun itu disyaki berada di luar negara dan akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dalam masa terdekat bagi mengesan keberadaan individu itu.
Media melaporkan SPRM sedang mengesan Adam Radlan, 44, yang beralamat terakhir di A16-2 Sunway Pallazio, Jalan Sri Hartamas 3, Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan berkaitan projek Lebuhraya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX 2) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Penguasa Sharan Raj Govindasamy di talian 014-3560771 atau emel kepada sharanraj@sprm.gov.my.


