Polis Johor menahan seorang juruteknik warga tempatan bagi membantu siasatan kes baling batu ke arah sebuah kenderaan hingga mengakibatkan cermin belakang kenderaan itu pecah di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, tangkapan dilakukan jam 7.50 petang semalam di Taman Bukit Kempas di sini.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Menurutnya, lelaki berusia 44 tahun ditahan itu bekerja sebagai juruteknik di Singapura.
“Siasatan mendapati lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga didapati negatif dadah.
“Polis merampas motosikal lelaki itu selain permohonan reman dibenarkan selama empat hari bermula hari ini hingga 6 Disember depan,” katanya tadi, lapor Harian Metro Online.
Semalam polis mengesahkan mengesan video tular menunjukkan seorang lelaki membaling batu terhadap sebuah kereta selain menerima laporan polis daripada pemilik kereta berusia 30 tahun.
Pemandu kereta mendakwa membunyikan hon selepas penunggang motosikal itu menukar lorong secara mendadak.
Pemandu mendakwa penunggang motosikal kemudian mengejar kereta mangsa sebelum bertindak membaling batu ke arah cermin belakang kereta sehingga pecah.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, tindakan penunggang motosikal berkenaan membahayakan keselamatan awam dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, selain Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.


