BANGUNAN penginapan sementara pelajar Johor di Nasr City Kaherah, Mesir dipecah masuk ketika pelajar sedang tidur.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku ke atas para pelajar dalam kejadian sekitar pukul 4 pagi hingga 5 pagi (9 pagi hingga 10 pagi waktu Malaysia)
Katanya, beberapa bilik di bangunan itu dipecah masuk dan hanya wang tunai dilaporkan hilang.
Melalui kenyataan dalam Facebook, Mohd Faredd berkata, polis Mesir telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
‘’Pegawai Atas Pendidikan Johor dan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Mesir sudah mengadakan pertemuan dengan para pelajar dan kebajikan mereka akan dipastikan terjaga.
“Kerajaan Johor sudah mengarahkan agar aspek keselamatan dibangunan tersebut dipertingkatkan. Kerjasama dengan pemilik bangunan sudah diperolehi bagi nemastikan insiden sama tidak berulang,” katanya
Dalam pada itu, Mohd Fared menasihatkan agar ibu bapa dan keluarga para pelajar di Johor bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa di Mesir untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Pegawai Atas Pendidikan Johor di Mesir bersedia dihubungi bagi mengurus perkara ini. Perkembangan dari masa ke semasa akan dimaklumkan,” katanya.


