Bantu koperasi tembusi pasaran antarabangsa, SKM jayakan agenda ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) terus memperkukuh peranan sebagai pemudah cara pembangunan koperasi apabila membantu koperasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa menerusi penyertaan dalam pameran perdagangan terbesar dunia, GULFOOD Dubai 2026.

SKM dalam kenyataan berkata, langkah itu dilihat selari dengan naratif nasional Hebatkan Perniagaan Malaysia yang menekankan pengukuhan daya saing perniagaan tempatan di peringkat global.

Antara koperasi yang menyertai platform berprestij itu ialah Koperasi Penternak Burung Walit Malaysia Berhad (KOWALIT), yang membawa produk sarang burung premium untuk diperkenalkan kepada pembeli antarabangsa.

Pengerusinya, Datuk Ng Siew Lai berkata, sokongan SKM menjadi faktor penting yang memberi keyakinan kepada koperasi untuk meneroka pasaran baharu, khususnya di Timur Tengah.

“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pasaran China. Persaingan semakin sengit dan harga semakin kurang kompetatif. SKM memberi dorongan supaya kita berani mencuba pasaran baharu,” katanya.

Menurut beliau, penyertaan dalam GULFOOD membuka peluang jaringan strategik bersama pembeli luar negara selain membolehkan koperasi menguji penerimaan produk di peringkat global.

‘’Produk sarang burung yang diketengahkan menerima maklum balas serta penerimaan positif daripada beberapa bakal pelanggan antarabangsa,’’ katanya.

SKM turut memaklumkan usaha membawa koperasi ke platform perdagangan antarabangsa merupakan sebahagian strategi agresif yang dimulakan sejak 2025, termasuk penyertaan dalam FOODEX Jepun.

Selain memudah cara penyertaan pameran, SKM turut membantu koperasi mendapatkan pensijilan antarabangsa seperti GMP, Halal dan HACCP bagi memastikan produk memenuhi piawaian global.

Siew Lai berkata, pematuhan standard antarabangsa merupakan keperluan utama untuk menembusi pasaran eksport.

“Setiap negara ada kriteria tersendiri. Jika mahu masuk pasaran antarabangsa, kita mesti patuh sepenuhnya. Kita ada pasukan kawalan kualiti yang memastikan semua standard dipenuhi,” katanya

Beliau berkata, model koperasi yang menghimpunkan anggota membolehkan ekonomi skala dicapai, sekali gus meningkatkan keupayaan memenuhi tempahan besar dari luar negara.

‘’Penyertaan di GULFOOD juga disifatkan sebagai sebahagian strategi jangka panjang untuk memastikan produk koperasi Malaysia terus berkembang ke pasaran antarabangsa,’’ katanya.

Menurut SKM, dengan sokongan berstruktur dan keberanian koperasi meneroka pasaran baharu, sektor koperasi Malaysia dijangka terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi negara dan meningkatkan kehadiran produk tempatan di persada dunia.

‘’Usaha berterusan SKM dalam memperkasakan koperasi menerusi pematuhan, jaringan perdagangan dan promosi eksport dilihat sebagai bukti bahawa agenda ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’ yang dipelopori Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan konkrit di peringkat lapangan,’’ kata SKM.

Langkah itu kata SKM diteruskan menerusi penyertaan tiga koperasi tempatan dalam acara pameran Foodex Japan 2026 di Tokyo pada pertengahan bulan Mac ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img