SEORANG bapa trauma apabila menyaksikan sendiri anak lelakinya dibaham buaya ketika menjala udang di sungai Kampung Segaliud, di Kinabatangan, Sabah petang tadi.
Dalam kejadian itu, Mohd Rayyan Abdullah, 28, dipercayai pergi menjala udang di sungai bersama bapanya sebelum dibaham reptilia itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 8.22 malam.
Katanya, jarak balai ke kampung berkenaan kira-kira 30 kilometer dan anggota penyelamat tiba di lokasi berkenaan pada jam 9.10 malam.
“Menurut bapa mangsa yang berada di lokasi, dia melihat anaknya itu dibaham buaya di depan matanya.
“Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan membabitkan empat anggota. Setakat ini, mangsa belum ditemukan,” katanya ketika dihubungi malam ini, lapor Harian Metro.


