POLIS mengesahkan seorang lelaki telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan di Setapak, Kuala Lumpur, susulan penularan rakaman video kejadian itu di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 19 Disember tahun lalu, kira-kira jam 1.48 petang daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang juga ibu mangsa.
Menurutnya, pengadu mendakwa melihat beberapa rakaman video memaparkan suspek bertindak memukul, mengasari serta menendang mangsa selain mengarahkannya berlari berulang kali di sebuah kediaman di sekitar Setapak.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai mengalami penderaan fizikal dan mental. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan itu, polis menahan suspek, seorang lelaki Melayu berusia 32 tahun yang juga suami pengadu serta bapa tiri mangsa, pada 20 Disember lalu.
Katanya, suspek kemudiannya dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember tahun sama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk penderaan, khususnya melibatkan kanak-kanak.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.


