‘’Barangkali saya, satu-satunya ‘ahli politik atau pengubah wang haram’ pulangkan ‘suapan’ – Najib

“…dan barangkali juga yang pertama dalam sejarah memberikan notis terhadap ‘wang haram’ itu kepada Gabenor BNM sendiri.’’ – Datuk Seri Najib Razak

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, semua tindakannya adalah selari dengan keyakinan bahawa wang yang dipindahkan ke dalam akaunnya adalah derma dijanjikan oleh Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi.

Beliau berkata,  tindakan terbabit tidak sama seperti saksi pendakwaan yang memberi keterangan terhadapnya di mahkamah, malah beliau sama sekali tidak mempunyai sebarang akaun luar pesisir.

Tidak seperti Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1Malaysia Development Berhad) dan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang mendaftar akaun bank melalui syarikat luar pesisir, Najib sebaliknya membuka akaun bank di sebuah bank tempatan.

Malah, katanya, Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, serta-merta dimaklumkan berhubung tujuan pembukaan akaun berkenaan, iaitu untuk menerima derma daripada kerajaan Arab Saudi.

Beliau turut menghujahkan bagaimana derma itu dibelanjakan, iaitu bagi tujuan politik dan kebajikan masyarakat secara khusus.

“Perbelanjaan dibuat melalui cek, dengan setiap sen perbelanjaan direkodkan. Tiada lukisan bernilai jutaan ringgit atau harta mewah dibeli daripada dana yang saya terima itu.

“Sesungguhnya. amat mengejutkan apabila walaupun wujud gembar-gembur media berhubung jumlah sebanyak AS$681 juta, keseluruhan jumlah itu belum pernah dibuktikan boleh dikesan kepada 1MDB.

“Lebih mengejutkan ialah hakikatnya, saya sendiri memulangkan AS$620 juta kepada akaun asal kerana dana itu tidak lagi diperlukan. Sebelum pemulangan derma, saya menulis sepucuk surat kepada Gabenor mendapatkan kelulusan rasmi bagi pemulangan.

“Barangkali, sayalah satu-satunya ‘ahli politik atau ‘pengubah wang haram’ yang memulangkan semula ‘suapan’ diperoleh, dan barangkali juga yang pertama dalam sejarah memberikan notis terhadap ‘wang haram’ itu kepada Gabenor BNM sendiri,” katanya, lapor Berita Harian.

Najib berkata, dana 1MDB berjumlah AS$1.6 bilion secara ironinya, diseleweng oleh Azmi Tahir, iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB manakala pegawai awam yang menerima keseluruhan AS$1 juta daripada Jho Low adalah Amhari.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, secara keseluruhannya, mereka dianggap sebagai saksi berwibawa terhadap beliau, seolah-olah tiada motif peribadi untuk melepaskan diri mereka.

Katanya, pegawai awam yang sama mengaku mereka melaksanakan ‘rancangan sulit’ serta ‘arahan’ daripada Jho Low melalui saluran tidak rasmi sebelum menghapuskan sebahagian besar daripadanya.

Najib berkata, di mahkamah, mereka menegaskan segala apa yang datang daripada Jho Low kononnya berpunca daripada beliau (Najib) manakala segala salah laku yang dilaksanakan adalah arahannya.

“Walaupun mengingkari arahan Lembaga Pengarah, mereka membuat keputusan tanpa kelulusan, melaksanakan pembayaran tidak sah berjumlah berbilion-bilion dan menerima imbuhan haram, mahkamah ini tetap tidak menemui sebarang sebab untuk meragui mereka ataupun kredibiliti mereka sebagai saksi.

“Selagi mana mereka mampu memberi keterangan terhadap saya, apa juga yang mereka katakan, akui, atau lakukan, walaupun boleh dipersoalkan, mengejutkan, atau sukar untuk dipercayai, tidak sekali-kali akan menjejaskan kebolehpercayaan mereka.

“Adalah nyata saksi pendakwaan dipilih bukan kerana apa yang akan mereka katakan tetapi atas apa yang mereka sanggup katakan. Saksi pembelaan tidak dipilih oleh pendakwa raya, bukan kerana mereka tiada mempunyai apa-apa untuk diberitahu, tetapi kerana apa yang mereka akan beritahu di mahkamah.

“Justeru, tidak mengejutkan sekiranya saya dituduh dan diperintah untuk membela diri atas dakwaan menandatangani dokumen yang tidak pernah dikemukakan di hadapan mahkamah ini,” katanya.

Najib berkata, ia bukan disebabkan dokumen itu hilang tetapi kerana saksi pendakwaan mendakwa sedemikian, maka secara automatik, beliau yang menandatangani dokumen tidak wujud itu.

Tegas bekas Menteri Kewangan itu, walaupun pendakwaan kemudiannya mengakui dokumen berkenaan sememangnya tidak wujud, namun oleh kerana saksi pendakwaan menyatakan ‘jadi’, maka mahkamah menerimanya begitu.

Tidak cukup dengan itu, Najib menegaskan turut didakwa hanya kerana melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dan arahan Kabinet untuk membentangkan memorandum berhubung jaminan Kerajaan Persekutuan kepada TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu) untuk kelulusan pada mesyuarat Jemaah Menteri.

1MDB asalnya dikenali sebagai TIA yang diambil alih Kerajaan Persekutuan pada 25 September 2009.

“Ya, saya dituduh menyalahgunakan kuasa hanya kerana telah melaksanakan kewajipan rasmi di bawah arahan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan Jemaah Menterinya.

“Pihak pendakwaan memilih untuk mengemukakan tuduhan terhadap saya hanya kerana saya memberi kelulusan terhadap resolusi Lembaga Pengarah, sedangkan kelulusan adalah tugas statutori saya yang nyata di bawah Akta Syarikat.

“Daripada hujahan ini juga akan dapat dibuktikan bahawa kepercayaan saya berhubung derma daripada Kerajaan Arab Saudi bukanlah satu dongeng.

“Rekod SWIFT yang diperoleh pihak berkuasa jelas menunjukkan pemindahan wang ke dalam akaun Ambank saya dibuat oleh Kementerian Kewangan, Riyadh yang mana pemindahan diproses oleh Saudi Arabian Monetary Authority (SAMA), iaitu bank pusat Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Najib berkata, beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) turut mengakui pada November 2015, ketika menjalankan siasatan di Riyadh, anggota keluarga diraja Arab Saudi sendiri mengesahkan wujudnya derma politik yang dijanjikan oleh Almarhum Raja Abdullah.

Katanya, turut disahkan adalah empat surat derma yang diterima, dan pemindahan derma yang dibuat ke dalam akaunnya.


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4900″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img