BARU sebulan dibebaskan atas kesalahan melakukan khianat, seorang lelaki sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas dakwaan mengugut mahu memijak isterinya, Rabu lalu.
Tertuduh, Mohamad Afful Maula Ismail, 34, yang juga penganggur bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Lelaki terbabit pernah dipenjara enam bulan, namun dibebaskan pertengahan Februari lalu atas kesalahan melakukan khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan, lapor Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya berusia 32 tahun di sebuah rumah di Parit Raja, jam 8.50 pagi, 25 Mac lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh datang ke rumah ibu mentuanya dalam keadaan marah dan mengamuk sambil mengeluarkan kata-kata ‘kau tunggu, aku pijak-pijak kau’.
Insiden itu berlaku kerana tertuduh tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan untuk berjumpa anaknya. Bimbang keselamatan diri dan keluarga, isterinya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan kemudiannya menawarkan ikat jamin RM6,000, namun mahkamah membenarkan jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh tidak membayar ikat jamin dikenakan terhadapnya.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap tiga minggu sekali.
Sebutan semula kes pada 12 Mei bagi serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.


