SEBANYAK 10 pekerja cedera selepas bas kilang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 48, Jalan Johor Bahru-Mersing di Kota Tinggi, Johor pagi ini.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6 pagi itu turut menyebabkan pemandu bas berkenaan, seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan bas jenis Hino itu pada jam 6.15 pagi.
“Bas kilang tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik. Berikutan itu, pemandu bersama 10 penumpang mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Danial Syafiq Azahari di talian 016-873 8498 atau mana-mana balai polis berhampiran.



