SEORANG bayi Nur Adriana Amira Mohamad Norismail, 11 bulan yang berada dalam pangkuan ibunya maut selepas kereta yang dinaiki mereka rempuh sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong-Simpang Kepayang, Bera malam tadi.
Bayi kepada pasangan Mohamad Norismail Sani , 22, bersama isterinya, Nik Nur Aini Azierah Che Azeman, 21 disahkan meninggal dunia akibat kececederaan di kepala dalam kejadian pukul 9.40 malam itu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kereta Perodua Bezza dipandu Mohamad Norismail Sani dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong untuk membeli susu anak mereka.
“Siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar haiwan berkenaan dan terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Nur Adriana masih berada dalam pangkuan ibunya ketika kejadian dan tidak tercampak keluar daripada kenderaan.
“Dua daripada tiga lembu yang dilanggar mati di tempat kejadian manakala seekor lagi cedera,” katanya.
Zulkiflee berkata, pihak polis bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bera turut mengadakan operasi menangani masalah lembu dan kerbau berkeliaran di jalan raya pada malam sama, namun kejadian berlaku lebih awal sebelum operasi bermula.
UNDILAH |



