SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka bersama isterinya bagi kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Menurut sumber, suspek lelaki yang juga bekas Timbalan Exco kerajaan negeri dan isterinya ditahan kira-kira jam 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari hingga November 2021.
“Pasangan suami isteri ini disyaki menggunakan wang rasuah tersebut untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman.


