Belot… penalti RM50 juta menanti ADUN BN Sabah

 PENALTI RM50 juta atau berdepan tindakan mahkamah, itulah yang menanti mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang melompat parti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah menerima aku janji bahawa mana-mana ADUN daripada BN yang melompat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan dikenakan penalti sedemikian.

 Beliau berkata, walaupun mustahil untuk ADUN yang dipilih pada PRN kali ini melompat disebabkan Akta Lompat Parti, sekiranya berlaku, penalti atau denda serta tindakan mahkamah menanti mereka.

“Hal ini supaya perkara yang berlaku dalam pilihan raya negeri yang lepas, tidak akan berlaku lagi. Kita harus belajar daripada kesilapan dan kelemahan dahulu,” katanya semasa berucap pada program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan hari ini, lapor Bernama.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan agar kesemua 45 calon BN yang bertanding pada PRN Sabah ke-17 bekerja keras kerana ia satu-satunya peluang untuk BN dan UMNO kembali menjadi dominan di Sabah.

Beliau berkata, rakyat Sabah mahu menyaksikan BN dan UMNO kembali memerintah negeri itu selepas 29 November ini dan bertekad membawa kemajuan menyeluruh ke Kinabatangan.

“Saya diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibahim) sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ertinya saya menteri kampung, menteri luar bandar, kawasan Kinabatangan kawasan kampung, jadi saya akan membantu memajukan Kinabatangan.

“Bukan sekadar (selesaikan) tiga serangkai iaitu jalan, elektrik dan bekalan air, lebih daripada itu pun kita akan bawa ke Lamag dan Sukau,” katanya.

Pada 25 Mei 2023, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi mewujudkan larangan ADUN bertukar atau melompat parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November nanti sebagai hari pengundian manakala 25 November ini bagi pengundian awal.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img