
DALAM suasana Hari Raya Aidilfitri ketika ini, selain kerinduan kepada keluarga, rakan taulan dan insan yang telah kembali mengadap Ilahi, saya juga terkenang saat-saat indah berpeluang berhari raya dengan masyarakat Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sama ada saya ke sana atau mereka memilih untuk menyambut hari raya di Semenanjung seperti mana saya lakukan bersama pelatih TVET saya di Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak, suatu masa dahulu.
Langkah seumpama itu adalah sebahagian proses asimilasi bagi menyatukan masyarakat Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung untuk meraikan perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha.
Bagi masyarakat Sabah dan Sarawak, perayaan itu bukan sahaja disambut oleh orang Islam tetapi juga penganut agama lain yang ingin merasai kemeriahannya.

Setiap kali hari raya, saya akan mengatur pelbagai aktiviti mengikut wilayah masing-masing bermula Ramadan. Ada beberapa kampung di Sabah yang saya jadikan kampung angkat seperti Kampung Tanah Merah di Keningau, Sabah yang dibangunkan sebuah surau.
Pada bulan Ramadan, saya akan mengunjungi mereka untuk berbuka puasa dan bertarawih yang kadang-kadang saya menjadi imamnya. Ketika Aidilfitri, saya bersama-sama anak-anak dan pemimpin masyarakat untuk meraikannya dengan penduduk. Kehadiran kami sekeluarga dari Semenanjung memeriahkan lagi suasana.
Walaupun ada tahun yang saya tidak berkesempatan meraikannya bersama mereka, namun setiap kali bulan puasa mereka tetap mengingati keluarga kami. Kali terakhir saya meraikan Ramadan bersama penduduk kampung tersebut ialah pada tahun 2024.
Sebuah lagi kampung yang agak terpencil dan terpaksa melalui jambatan gantung untuk sampai ialah Kampung Biah, juga di Keningau. Saya pernah membawa anak-anak saya berkunjung ke kampung berkenaan.
Kami disambut dengan pelbagai juadah di rumah Michael Langor, salah seorang penduduk kampung yang mengetuai program basmi kemiskinan 1Azam suatu masa dahulu.
Saya melaksanakan program tersebut di kampung itu dan ia berjaya meningkatkan pendapatan penduduk miskin tegar di situ.
Di Kampung Biah itu, keluarga saya dapat merasai pengalaman berhari raya dalam sebuah keluarga yang bercampur agama. Walaupun Michael dan isteri ketika itu beragama Kristian, sebahagian anak mereka beragama Islam manakala penduduk kampung menganuti pelbagai agama.
Saya mendidik anak-anak saya untuk menjalani kehidupan dengan kepelbagaian kaum dan agama melalui kaedah toleransi berpada-pada serta hormat menghormati antara satu sama lain.
Ketika meraikan Aidiladha, fokus kami pula ialah masyarakat sekitar bandar raya seperti Kota Kinabalu dan kawasan pinggir ibu kota itu. Menyertai gotong-royong dan kenduri-kendara mereka adalah keseronokan yang tidak dapat dilupakan memandangkan pelbagai suku kaum disatukan dengan dialek dan bahasa berbeza.
Bagi pelatih TVET pertanian di IGROW Pulau Tiga, Kampung Gajah, kemeriahan Aidilfitri akan diraikan dengan masyarakat kampung melalui kunjungan dari rumah ke rumah, bertahlil dan menikmati pelbagai juadah Melayu Semenanjung.
Melalui pendekatan itu, ia membolehkan mereka memahami adat resam dan nilai kasih sayang sesama manusia dalam konteks keluarga Malaysia.
Pada tahun lalu, sambutan Ramadan dan Aidilfitri di Labuan tidak kurang meriahnya. Ia diselangi dengan program keusahawanan dan ditutup dengan menyambut Aidilfitri melibatkan peserta Upaya@PUJI Labuan serta kakitangan pelbagai agensi di Labuan bersama team IGROW dari Semenanjung.
Melalui cara pendekatan itu ia akan mewujudkan perasaan kebersamaan masyarakat antara wilayah bagi memupuk integrasi nasional. Hasilnya bukanlah terjelma dalam masa sehari tetapi akan menebal sepanjang masa.
Ia amat penting dalam konteks keharmonian dan muhibah bersama dalam semua aspek kehidupan bernegara.
Malangnya, hari ini kita menyaksikan bibit-bibit perpecahan dan perbalahan kaum, agama dan anti wilayah semakin membimbangkan. Hal ini turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Aidilfitri semalam.
Seri Paduka bertitah bahawa sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi.
Titah Sultan Ibrahim, la bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amarah, tetapi juga dalam penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat – ia mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa.
‘’Kita sebagai rakyat Malaysia, jangan lupa Lima Prinsip Rukun Negara yang juga menyatakan prinsip “Kesopanan dan Kesusilaan”.
‘’Di manakah kekurangannya kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini sehingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?,’’ titah Seri Paduka.
Sememangnya mengurus perpaduan dan perpecahan di Malaysia amat penting kerana negara ini tidak boleh tersilap langkah. Kepelbagaian kaum, agama dan etnik ibarat bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa dan sangat bahaya pada masa depan.
Bahangnya sudah dirasai sekarang seperti perbalahan minyak dan gas Sarawak, isu kuil dan mungkin lebih banyak lagi pada masa depan yang akan menjadikan kehidupan generasi akan datang sangat kronik.
Sekali lagi saya tegaskan, peranan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) adalah penting. Kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, USJ 25, Subang Jaya pada November 2018 perlu dijadikan pengajaran.
Walaupun mengorbankan seorang nyawa petugas Bomba dan Penyelamat, ketegangan itu dapat diredakan segera oleh kerajaan ketika itu. Hampir setiap hari kita dapat menyaksikan Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy mengetuai Menteri Kabinet lain untuk menyelesaikan hal tersebut.
KPN perlu dilihat menjadi agensi terkehadapan dalam soal perpaduan dan integrasi nasional ini. Dengan keterbatasan idea dan jentera, maka peranan pelbagai pihak perlu digabungkan bersama supaya mentaliti dan pendekatan cara lama lama dapat diubah bagi mendepani cabaran terkini.
Sedikit sebanyak pengalaman saya dengan KPN membolehkan saya memahami kesukaran menukar mentaliti dalam jentera kerajaan hari ini. Saya yakin, KPN sudah dapat membaca persepsi rakyat terhadap fungsi mereka ketika pelbagai keresahan hubungan kaum dan integrasi nasional semakin meluap di Malaysia.
Semoga melalui artikel ini, setidak-tidaknya ia memberi pemahaman bahawa apa yang dilakukan oleh saya sebelum ini berjaya dan berkesan. Jika tulisan ini dibaca oleh pihak yang bertanggungjawab, janganlah tunggu kami memohon untuk bekerjasama, sebaliknya jemputlah kami datang bagi menjayakan misi Randau Demi Negara.
Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi


