SEORANG wanita maut selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Puchong, Batu 14, Kampung Baru Puchong, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, panggilan kecemasan diterima pukul 10.15 malam.
Katanya, seramai lapan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan, kemalangan melibatkan sebuah kereta e-hailing.
Katanya, terdapat tiga orang mangsa iaitu seorang pemandu lelaki Melayu berumur 49 tahun dan dua penumpang.
“Penumpang wanita berusia 19 tahun meninggal dunia manakala pemandu dan penumpang lelaki berusia 21 tahun cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.