PADA 5 September lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu berkata, sebaliknya parti berkenaan memutuskan hanya akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya berkenaan.
Tetapi hari ini Ahmad Zahid memberitahi media di Bagan Datuk, bahawa Barisan Nasional (BN) sudah mengemukakan senarai nama calon untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri dan timbalan menteri Sabah.
Katanya, proses pembentukan kerajaan negeri kini berjalan mengikut aturan selepas parti yang mendukung kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor diminta menghantar nama calon masing-masing.
“Kita telah diminta (mengemukakan senarai calon) dan BN telah pun menyerahkannya,” katanya.
Zahid berkata, kerjasama antara parti dalam gabungan itu terutama hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada dalam keadaan baik dan tersusun.
Kenyataan Ahmad Zahid dan BN itu sudah pastilah menimbulkan pertanyaan kepada banyak pihak memandangkan parti tersebut sebelum ini menyatakan tidak akan bekerjasama dengan GRS.
Bagaimanapun pada 30 November lalu, selepas keputusan PRN diumumkan yang menyaksikan BN menang 6 kerusi daripada 42 kerusi yang ditandinginya, Ahmad Zahid membuat kenyataan, BN bersedia bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk sebuah kerajaan baharu, untuk kestabilan politik Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Namun begitu pembentukan Sabah tidak memerlukan BN atas sebab itulah hari ini, dalam satu kenyataan Pemuda GRS menentang keras penyertaan BN.
Dalam satu kenyataan, Pemuda GRS berkata, kerajaan GRS Plus telah pun melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa sebanyak 41 kerusi.
“Komposisi melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (lima), UPKO (tiga) Pakatan Harapan (PH) dan KDM masing-masing satu kerusi, selain mendapat sokongan daripada STAR sebanyak dua kerusi.
“Selain itu, kedudukan kerajaan akan bertambah kukuh dengan pelantikan enam Ahli Dewan Undangan Sabah Dilantik, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran negeri di Dewan Undangan (DUN) Sabah,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut berkata, bahawa komposisi wakil rakyat dalam kerajaan GRS Plus pada ketika ini adalah kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sebarang penambahan daripada pihak yang telah ditolak oleh rakyat.
“Keputusan pengundi wajib dihormati. Rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar.
“Pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran. Langkah-langkah sumbang politik yang berlaku pada tahun 2023, yang turut digerakkan oleh BN, tidak seharusnya berulang kerana ia telah menggugat kestabilan politik dan keyakinan rakyat.
“Tambahan pula, BN sendiri secara terbuka sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah telah melancarkan serangan politik yang luar biasa terhadap GRS serta kepimpinan Ketua Menteri.
“Maka, adalah tidak wajar kini mereka tampil dengan tuntutan untuk disertakan dalam kerajaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang tidak berlandaskan mandat rakyat.


