SEORANG lelaki hilang manakala empat lagi cedera apabila dua bot penumpang bertembung pada kedudukan 0.3 batu nautika dari timur Jeti Pelancong Semporna di Sabah pagi ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.30 pagi.

“Bot dinaiki lima individu itu rosak teruk akibat pelanggaran berkenaan dengan empat mangsa yang cedera termasuk juragan bot dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala seorang kru Rosman Kandau, 24, dilaporkan hilang di lokasi kejadian.
“Dua lelaki yang menaiki sebuah lagi bot terselamat dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan jam 1.50 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Amir, operasi pencarian yang dilaksanakan meliputi keluasan kawasan tiga batu nautika melibatkan bot Maritim Malaysia serta Pasukan Polis Marin.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Semporna di talian 014-787 0624 bagi membantu siasatan.


