Oleh Penulis Khas
SELATAN Thailand kembali bergegar dengan insiden keganasan apabila awal pagi 11 Januari lalu dilaporkan kumpulan bersenjata melancarkan serangan di 10 lokasi di Selatan Thailand melibatkan Narathiwat, Pattani dan Yala.
Serangan bermula antara pukul 1 pagi hingga pukul 1.30 pagi itu menjadikan Stesen-Stesen Minyak PTT di ketiga-tiga wilayah itu sebagai sasaran utama sehingga mengakibatkan kebakaran besar dan letupan kuat yang mencetuskan suasana panik di kawasan terlibat.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati 11 stesen minyak mengalami kerosakan serius iaitu 5 buah Narathiwat, Pattani (2 buah) dan Yala (4 buah).
Pihak berkuasa mempercayai kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) terlibat.
Sehubungan itu penulis tertanya-tanya apabila wakil BRN dalam Mesyuarat Rasmi Rundingan Damai antara BRN dan pemerintah Thailand di Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu menyatakan mereka mahukan pemerintahan sendiri, adakah hasrat itu direstui oleh seluruh cabang dalam BRN khususnya militer?
Ia kerana serangan itu membuktikan bahawa rundingan yang sedang dijalankan tidak berupaya menghentikan keganasan di Selatan Thailand. Malah lebih daripada itu apa yang menjadi persoalan adakah tindakan wakil BRN menggugurkan perjuangan menuntut kemerdekaan dipersetujui oleh cabang militer atau tidak.Difahamkan cabang militer telah menegaskan sampai ke matipun mereka tidak akan meninggalkan perjuangan berkenaan.
Kejadian keganasan itu juga menimbulkan persoalan, apakah BRN akan mampu membentuk pentadbiran sendiri sedangkan dalam organisasi itu tidak ada kata sepakat. Bercakap memang mudah, berjanji memang senang tetapi untuk melaksanakannya bukan mudah.
Kalau BRN mahu menguji tahap sokongan penduduk Islam di wilayah selatan ia bukan dengan cara melakukan serangan ganas seumpama itu. Tindakan tersebut hanya kerja sia-sia dan tidak masuk akal. Mana-mana penduduk atau rakyatpun tidak akan menerima keganasan.
Sebaliknya, BRN harus melakukan dengan cara tertib bagi mengetahui apakah mereka mempunyai sokongan kuat daripada rakyat. Ia tidak susah jika BRN bersedia menyusun kekuatan dan barisan untuk turun ke gelanggang pilihan raya.
BRN perlu buktikan kemampuan mereka menggunakan landasan demokrasi bagi bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) Thailand pada Februari ini. Jika pemimpin-pemimpin tidak ada apa-apa kepentingan lain, selain mahu memperjuangkan nasib penduduk Islam, mereka akan melakukan dengan cara bermoral iaitu bertanding dalam pilihan raya dengan menggunakan lambang dan atas nama sendiri bukan berselindung di sebalik mana-mana parti.
Mereka perlu sediakan calon dan segala kelengkapan untuk memastikan BRN boleh mencapai kemenangan seterusnya menghantar wakil rakyar ke Parlimen. Kalau itu dapat dilakukan sudah tentulah BRN tidak perlu bersusah payah melakukan keganasan sehingga menjejaskan kehidupan penduduk.
Selain berusaha menempatkan wakil BRN sebagai wakil rakyat di Parlimen Thailand, mereka juga perlu menyusun kekuatan untuk bertanding di peringkat kampung dan daerah.
Bagaimanapun sebelum bertanding, BRN perlu tunjukkan apa kemampuan mereka untuk mengurus dan mengendalikan pentadbiran di wilayah berkenaan memandangkan BRN beria-ia mahu membentuk pentadbiran sendiri.
Namun begitu penulis percaya, Pemerintah Thailand tidak akan bersetuju untuk BRN berbuat demikian kerana ia dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Thailand.
Oleh itu pilihan yang BRN ada ialah bertanding dalam pilihan raya sama ada di peringkat Parlimen, kampung mahupun wilayah. Carilah sokongan rakyat melalui saluran tersebut, apabila sokongan rakyat nampak kukuh barulah BRN boleh mendesak apa-apa sahaja kepada pemerintah Thailand demi kesejahteraan penduduk Islam.
Ketika ini penulis tidak nampak apa keperluan dan kewajaran untuk BRN dibenarkan mentadbir sendiri wilayah selatan. Ia memandangkan apa yang diperjuangkan atau dituntut oleh mereka sudah lama dilaksanakan oleh pemerintah Thailand.
Tidak kiralah apapun bidang sama ada politik, ekonomi, sosial, agama mahupun pendidikan. Penduduk Islam tidak pernah dipinggirkan oleh pemerintah negara itu, tetapi secara tiba-tiba BRN mahu pentadbiran sendiri.
Justeru penulis berpendapat adalah lebih wajar jika BRN mengikut saluran demokrasi sedia ada seperti bertanding dalam pilihan raya. Sudah pasti kalau itu jalan yang dipilih oleh BRN, pemerintah Thailand akan memberi sokongan dan bantuan tetapi dengan syarat utama mestilah keputusan BRN itu mendapat persetujuan semua cabangnya.
Janganlah pula ia hanya keputusan Biro Politik sahaja sedangkan cabang militer sama sekali tidak mempersetujuinya. Kejadian serangan di 10 Stesen Minyak PTT hari ini membuktikan fakta ini.
*Hantarkan komen dan artikel anda kepada editor@utusanmelayuplus.com


