SEORANG kanak-kanak perempuan dikejarkan ke hospital selepas kemaluannya berdarah dipercayai akibat digigit lintah ketika bermain di sawah dalam satu program di Sungai Rambai, Melaka Ahad lalu.
Menurut sumber, mangsa yang berusia tujuh tahun dikejarkan ke Wad Kecemasan Hospital Jasin susulan kejadian itu dan laporan polis telah dibuat kira-kira jam 1 petang.
“Kanak-kanak perempuan itu dibawa ibunya ke hospital selepas dia dikatakan mengalami pendarahan secara tiba-tiba ketika bermain di sawah semasa menyertai program berkenaan.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada bahagian kemaluannya sebelum kes tersebut dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurut sumber itu, pemeriksaan doktor mendapati pendarahan berkemungkinan disebabkan lintah, susulan ibu mangsa memaklumkan anaknya hanya memakai seluar pendek tanpa seluar dalam ketika berada di sawah berkenaan.
Beliau memaklumkan bahawa laporan polis dibuat bagi memenuhi prosedur perubatan dan siasatan mendapati tiada kecederaan trauma atau unsur jenayah dikesan terhadap mangsa.


