KERAJAAN bersetuju meningkatkan had kelayakan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-panggilan yang layak sehingga 800 liter sebulan, tertakluk syarat perjalanan ditetapkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat setelah kerajaan meneliti rayuan pemandu e-panggilan berdasarkan kegunaan sebenar.
Beliau berkata bagi Oktober, kerajaan menyediakan had kelayakan tambahan untuk pemandu e-panggilan aktif dengan menaikkannya daripada 300 kepada 600 liter sebulan, yang memanfaatkan 58,000 pemandu.
“Pada masa sama, kerajaan turut bersetuju supaya teksi lapangan terbang turut disenaraikan sebagai kenderaan yang layak menerima RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.
Anwar menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai kemajuan bulan pertama pelaksanaan program penyasaran subsidi RON95, dan tindakan diambil kerajaan dalam menyelesaikan isu berbangkit terutama golongan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-panggilan dan pengguna bot sungai berhubung kelayakan mereka di bawah BUDI95.
Perdana Menteri berkata pada Oktober lepas, sebanyak 13.1 juta rakyat menggunakan RON95 bersubsidi dengan perbelanjaan RM2.6 bilion, melibatkan sekitar RM800 juta subsidi daripada kerajaan.
Anwar berkata purata jumlah liter yang digunakan penerima BUDI95 bagi bulan itu sebanyak 98 liter, iaitu 33 peratus daripada kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.
“Hanya kurang 0.7 peratus penerima BUDI95 yang menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir Oktober,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat 31 Okt lepas, hampir 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu telah diluluskan untuk menerima BUDI95.
Menjawab soalan tambahan Syerleena berhubung mengapa kerajaan memutuskan melaksanakan BUDI95 yang memanfaatkan semua warganegara Malaysia termasuk golongan T15, Anwar berkata ia berkait dengan kaedah pelaksanaan.
“Bila kita nak (takrifkan) T15, kalau kita letak sasaran RM13,000 sebulan, kemudian RM20,000 sebulan. Itu masih menekan golongan kelas menengah atas, jadi kita nak naikkan RM50,000 sebulan atau lebih kurang, tapi jumlahnya (golongan itu) sangat kecil.
“Jadi, dari segi penguatkuasaan, kos penguatkuasaan itu tinggi. Jadi, sekarang ini pandangan kita…kita jalankan ini dulu dan kalau ada keperluan pada masa akan datang, yang sistem itu lebih mantap, maka boleh kita kenalkan, tetapi bagi yang benar-benar tinggi ataupun kenderaan betul-betul mewah,” katanya.
Menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai kesan pelaksanaan BUDI95 dalam konteks tekanan luaran seperti tarif dikenakan Amerika Syarikat terhadap barangan Malaysia yang secara tidak langsung meningkatkan kos pengangkutan dan logistik, Anwar berkata kerajaan sedang memantau kesannya.
“Walaupun tarif diturunkan, banyak item dapat pengecualian, semikonduktor dan kelapa sawit, tetapi kita masih pantau apa kesan dari segi kos, sekiranya meningkat, tentunya kerajaan kaji semula beberapa dasar supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.
Malaysia memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan Amerika Syarikat yang menyaksikan kadar tarif purata diturunkan daripada 25 kepada 19 peratus, serta akses pasaran lebih meluas bagi eksport utama negara.
UNDILAH | 



