ULAMA terkemuka Indonesia, Yahya Zainul Ma’rif atau lebih dikenali sebagai Buya Yahya menegaskan, tidak wajar perbahasan mengenai perbezaan mazhab Sunni dan Syiah terus dijadikan isu ketika umat Islam sedang berdepan perjuangan membela Palestin.
Menurut beliau, Iran selama ini merupakan antara negara yang paling ke hadapan dalam mempertahankan rakyat Palestin daripada penjajahan Israel.
Melalui akaun Instagram rasminya ,Buya Yahya menjelaskan bahawa ketika berlakunya peperangan antara Iran dengan Israel serta Amerika Syarikat (AS), umat Islam tidak seharusnya memfokuskan kepada perbezaan mazhab, sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada perjuangan menentang kezaliman terhadap rakyat Palestin.
Beliau menjawab persoalan yang sering timbul di media sosial iaitu sama ada umat Islam boleh menyokong tindakan Iran menyerang Israel.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang berjuang menentang penindasan Zionis wajar diberikan sokongan tanpa mengira asal negara atau latar belakang mazhab.
“Hari ini bukan waktunya kita bercakap soal itu (Sunni–Syiah),” tegas Buya Yahya, lapor Republika.
Beliau turut menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang bangkit menentang Israel demi menamatkan kezaliman terhadap kemanusiaan wajar dianggap sebagai pejuang.
Katanya, tidak kira sama ada pihak tersebut datang dari Iran, Britain atau China, selagi matlamatnya adalah menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin, mereka sewajarnya disokong oleh masyarakat dunia.
Buya Yahya juga mengingatkan bahawa umat manusia tidak sepatutnya terlambat menyedari bahawa Zionis Israel kini menjadi musuh kepada kemanusiaan sejagat, bukan sekadar musuh kepada umat Islam.
Menurutnya, tindakan Israel terhadap rakyat Palestin telah mencemarkan nilai kemanusiaan dan keadilan global.
Kenyataan Buya Yahya itu bagi meredakan polemik di Indonesia berhubung sokoangan terhadap Iran.
Sebahagian pihak mempertikaikan sokongan terhadap Iran kerana negara itu berpegang kepada mazhab Syiah yang dianggap menyimpang oleh sesetengah kelompok Sunni. Malah terdapat juga naratif yang mempertikaikan sama ada Ali Khamenei layak digelar syahid selepas terbunuh dalam serangan tersebut.
Perdebatan panjang ini banyak berlaku di pelbagai platform media sosial, dengan sebahagian pihak cuba mempertahankan negara-negara Arab bermazhab Sunni daripada serangan Iran.
Namun hakikatnya, Iran menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Teluk sebagai sebahagian daripada serangan balasan terhadap operasi ketenteraan yang dilancarkan terhadapnya.
Di sisi lain, beberapa kumpulan perjuangan Palestin di Gaza mengakui peranan Iran serta kepimpinan Ali Khamenei dalam menyokong perjuangan mereka menentang penjajahan Israel. Pengakuan ini sekali gus menolak dakwaan bahawa Iran tidak pernah membantu perjuangan rakyat Palestin.


