Bukan sekat kebebasan bersuara tapi elak petaka kepada negara

DALAM beberapa ucapan beliau kebelakangan ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali mempertegaskan bahawa  perpaduan kaum di negara ini amat penting untuk dipelihara kerana ia penentu kepada kelangsungan kestabilan negara dalam semua bidang.

Justeru apabila tercetusnya isu kuil dibina secara haram Perdana Menteri mengingatkan  bantahan terhadap pembinaan kuil haram boleh dilakukan, namun ia perlu dibuat secara berhemah tanpa menimbulkan permusuhan atau hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Saya tegaskan, kawan-kawan India, pernahkah saya tidak setuju dengan pertambahan kuil yang mengikut peraturan? Mesti ikut peraturan. Sama seperti masjid, surau atau gereja. Kalau kita langgar peraturan, hasilnya kebencian, masalah tidak selesai. Sebab itu saya terpaksa keluarkan arahan tegas untuk hentikan.

”Dah lama kita biarkan berlarutan, semua orang nak jadi hero. Sekarang orang pergi kawasan kuil jadi hero ekstrem, akhirnya kita korbankan kepentingan negara,” tegas Anwar.

Sememangnya isu kuil haram amat sensitif atas sebab itulah ia perlu dikendalikan secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang sentimen yang boleh mencetuskan perbalahan kaum. Konflik kaum pada zaman ini bukan lagi tercetus akibat sesuatu pergaduhan secara fizikal tetapi lebih berbahaya melalui ‘pertempuran’ dalam media sosial.

Penulis masih ingat pada tahun 1999, tercetus pergaduhan antara orang Islam dan orang Kristian di   satu wilayah di sebuah negara jiran hanya disebabkan tersebar khabar angin bahawa seorang wanita hamil Kristian dibunuh oleh individu Islam – faktanya kejadian itu tidak berlaku, namun akibat berita palsu berbentuk hasutan itu ia mengakibatkan perang ada penduduk Islam dan Kristian berlanjutan selama bertahun-tahun.

Pada Ogos lalu, akibat hasutan disebarkan dalam internet berikutan kenaikan elaun perumahan menteri 10 kali ganda dari asal, menyebabkan beberapa rumah anggota Kabinet termasuk bekas Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati diserbu dan dipecah masuk oleh orang ramai.

Kedua-dua peristiwa tersebut memberi pengajaran bagaimana kalau internet atau media sosial dibiarkan bermaharajalela dan menjadi platform membuat hantaran yang berunsur kebencian sudah pastilah ia boleh menyebabkan kehancuran kepada negara.

Atas sebab itulah Kementerian Komunikasi yang diterajui oleh Datuk Fahmi Fadzil mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan media sosial atau internet tidak disalahgunakan atau tidak menyiarkan komen-komen yang boleh mencetuskan perbalahan kaum.

Internet kini menjadi ‘senjata baru’ dalam ‘peperangan moden’, selain senjata api. Melalui internet negara boleh huru-hara. Justeru ia memerlukan ketegasan kerajaan bagi ‘memerangi’ sebarang elemen yang boleh membangkitkan sentimen antara kaum dan seterusnya merebak menjadi konflik besar.

Bagaimanapun apa yang dilakukan oleh Kementerian Komunikasi memperketatkan kawalan ke atas platform media sosial atau tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menurunkan kandungan berbaur hasutan atau membangkitkan kebencian bukan bermakna mahu menyekatkan kebebasan bersuara.

Sebaliknya MCMC hanya melaksanakan tanggungjawab yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia contohnya mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi contohnya kandungan lucah, palsu, HASUTAN dan scam.

Itupun bukannya MCMC bertindak sesuka hati atau sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan laporan atau aduan diterima serta siasatan yang dijalankan. MCMC kemudian akan meminta platform seperti META menurunkan kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia.

Selepas itu terserah kepada META sama ada hendak menurunkan kandungan berkenaan atau tidak, tetapi perlu diingat META juga ada garis panduannya sendiri iaitu  menyemak dan menurunkan atau menyekat kandungan yang melanggar dasar komuniti mereka contohnya berita palsu, kebencian, pornografi, keganasan, penipuan, HASUTAN dan sebagainya.

META melaksanakan sistem pemantauan automatik dan semakan manusia untuk mengesan kandungan berbahaya. Tindakan ini berlaku pada peringkat platform sendiri tanpa menunggu arahan kerajaan — selagi ia melanggar garis panduan mereka.

Oleh itu menuduh Fahmi menyekat kebebasan bersuara dengan memberi arahan kepada MCMC untuk menurunkan sesuatu kandungan termasuklah dalam isu kuil haram adalah tidak benar. Kalaupun Fahmi sebagai menteri yang bertanggungjawab mengarahkan sesuatu kandungan sensitif diturunkan apa salahnya?

Tak kan beliau akan membiarkan sahaja apabila menerima laporan sesuatu kandungan itu terus dipaparkan dalam internet?  Tak kan apabila MCMC membuat tindakan berdasarkan undang-undang seperti menurunkan kandungan, Fahmi akan cakap ‘jangan buat…nanti aku kena tuduh sekat kebebasan bersuara’?

Soalnya jika sesuatu berlaku akibat kandungan sensitif seperti dalam isu kuil haram, siapakah akan dipersalahkan? Bukankah Fahmi juga yang akan menjadi sasaran? Dalam konteks apa atau dari sudut apa dakwaan menyekat kebebasan bersuara dibuat?

Kalaulah Fahmi mengarahkan kandungan politik milik pembangkang atau suara mengkritik kerajaan diturunkan itu mungkin boleh dipertimbangkan dalam kategori menyekat kebebasan bersuara dan menghalang hak demokrasi seseorang.

Tapi kalau kandungan itu bertujuan atau boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan antara kaum, tak kan kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi khususnya MCMC hanya tengok saja ‘sambil makan popcorn’…bila dah ‘berperang’ baru kelam kabut bertindak.

Lihat sahaja di beberapa negara yang dilanda konflik. Tiada tindakan awal menghalang kandungan sensitif seperti hasutan dan kebencian telah  menyebabkan konflik merebak, apabila negara sudah hampir hancur barulah sekatan mahu dilakukan, ia sudah sia-sia.

Oleh itu cukup-cukup ‘menyerang’ Kementerian Komunikasi khususnya Fahmi dan MCMC setiap hari dalam isu kuil haram hanya kerana pada pandangan peribadi kita  kebebasan suara disekat.

Sama ada betul sekat atau tidak, buatlah kajian bagaimana dalam media sosial, terdapat beribu-ribu komen yang mengkritik kerajaan dan bercakap soal kaum yang tidak disekat selagi ia tidak melanggar undang-undang negara.

Kemudian kaji pula kenapakah MCMC mahu atau META bertindak menurunkan kandungan milik kita? Adakah ia benar-benar bersih daripada elemen hasutan atau boleh mencetuskan kebencian?

Seperkara lagi, janganlah terlalu emosi sehingga di ruangan komen dalam media sosial  kita menuduh seseorang itu seburuk-buruknya manusia, kalau tuduhan itu tidak benar tak pasal-pasal buat dosa di bulan penuh keberkatan ini.

Apapun satu perkara yang pasti Kementerian Komunikasi  ibarat  ‘Kementerian Pertahanan II’’, jika Kementerian Pertahanan di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memerangi ancaman secara fizikal, Kementerian Komunikasi di bawah Fahmi pula ada MCMC untuk menentang ancaman melalui siber atau internet.

Oleh itu selagi setiap tindakan dilakukan berdasarkan undang-undang maka laksanakan sahaja, biarlah rakyat menilai apakah langkah tersebut menyekat kebebasan bersuara atau bertujuan menghalang petaka kepada negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img