
KEGAGALAN komunikasi sering dianggap isu sampingan dalam pengurusan bangunan dan keselamatan awam, sedangkan dalam banyak insiden, komunikasi yang gagal adalah pencetus sebenar kepada bencana yang akhirnya berlaku.
Dalam ekosistem keselamatan moden, maklumat ialah nadi pencegahan. Bangunan tidak runtuh secara tiba-tiba, sistem tidak gagal tanpa amaran dan risiko tidak muncul dalam sekelip mata. Namun apabila maklumat awal tidak disampaikan, tidak ditafsir dengan betul atau sengaja direndahkan kepentingannya, seluruh sistem pertahanan runtuh sebelum struktur fizikal itu sendiri rebah.
Di sinilah kelemahan komunikasi menjadi faktor paling merbahaya, lebih merbahaya daripada retakan konkrit atau paip bocor kerana ia melibatkan keputusan manusia terhadap setiap maklumat yang sampai kepada mereka.
Dalam banyak organisasi, budaya penyampaian maklumat tidak dibina atas asas kejujuran teknikal, tetapi atas rasa takut menyusahkan, enggan dipersalahkan atau mahu menjaga imej jabatan. Aduan kecil daripada penghuni, pemerhatian pekerja pembersihan atau laporan juruteknik sering diperlahankan, disaring atau dikecilkan supaya tidak kelihatan seperti isu besar.
Dalam bidang komunikasi risiko, tindakan ini dianggap normalisasi penyimpangan, iaitu keadaan berbahaya yang dianggap biasa kerana tidak menyebabkan kemalangan serta-merta. Apabila komunikasi bertukar menjadi proses menapis maklumat, bukannya menyampaikan kebenaran, kita sebenarnya sedang membina ruang senyap yang membenarkan risiko berkembang tanpa gangguan.
Masalah lain yang merumitkan keadaan ialah komunikasi yang bergerak perlahan tetapi kesalahan bergerak pantas. Sering kali apabila tanda awal wujud, retakan kecil di dinding, getaran luar biasa, bunyi struktur yang tidak pernah muncul sebelum ini atau kerosakan yang berulang, maklumat tersebut sekadar disimpan di peringkat bawahan atau dicatat dalam laporan yang tidak diangkat ke saluran yang betul.
Setiap tahap kelewatan ini merubah maklumat dari amaran awal menjadi malapetaka menunggu masa. Dalam banyak kes, pihak yang menerima maklumat pula tidak mempunyai kejelasan prosedur komunikasi atau tidak memahami keparahan risiko kerana kurangnya literasi teknikal. Ini menyebabkan maklumat penting gagal diterjemah menjadi tindakan.
Sikap menyalahkan pihak lain apabila bencana berlaku pula menunjukkan satu lagi bentuk kegagalan komunikasi: ketidakberanian untuk menerima tanggungjawab terhadap maklumat yang tidak disampaikan atau tidak diurus.
Komunikasi bukan sekadar menyampaikan fakta; ia adalah keputusan untuk bertindak atas fakta tersebut. Apabila tragedi berlaku dan naratif bertukar menjadi saling menuding jari, itu menandakan kegagalan struktur komunikasi dalaman jauh lebih parah daripada kegagalan struktur fizikal bangunan.
Pepatah yang menyebut satu jari menuding ke hadapan dan empat lagi menuding kembali kepada diri sendiri bukan sekadar simbolik. Ia menggambarkan akar kepada sikap mengelak yang menyebabkan maklumat kritikal terhenti di tengah jalan.
Dalam analisis komunikasi risiko, setiap maklumat kecil mesti diberi perhatian serius kerana ia sebahagian daripada data yang boleh mencegah bencana besar. Namun tanpa budaya organisasi yang menghormati kebenaran teknikal, maklumat sering ditafsirkan melalui lensa politik dalaman, sensitiviti hubungan kerja atau ketakutan kepada teguran.
Pengurusan atasan pula kerap menerima maklumat dalam bentuk yang telah dilicin dan diperindahkan sehingga hilang nilai amaran asalnya. Apabila maklumat diproses ikut keselesaan, bukan mengikut fakta, bencana menjadi sukar dielakkan.
Aspek seterusnya ialah komunikasi antara jabatan. Banyak kejadian berlaku kerana maklumat teknikal tidak dipindahkan dengan tepat kepada pihak yang bertanggungjawab membuat keputusan.
Juruteknik faham apa yang berlaku, tetapi laporan mereka tidak difahami dengan kejelasan yang sama oleh pegawai bukan teknikal. Perbezaan bahasa teknikal dan bahasa pentadbiran ini mewujudkan jurang kefahaman yang besar.
Tanpa penterjemahan maklumat yang betul, tindakan yang sepatutnya kritikal dianggap tidak mendesak. Komunikasi dalam bentuk laporan tidak memadai jika ia tidak disokong oleh kefahaman bersama antara semua pihak dalam rantaian kerja.
Hakikat paling pahit ialah banyak tragedi yang berlaku sebenarnya boleh dicegah jika komunikasi berlaku tepat pada waktunya. Sains keselamatan global menunjukkan bahawa 60 ke 80% kegagalan struktur berkait dengan faktor manusia, bukan semata-mata kerosakan fizikal.
Bukan konkrit yang gagal dulu, tetapi komunikasi manusia yang gagal lebih awal. Bukan bangunan yang runtuh secara tiba-tiba, tetapi sistem penyampaian maklumat yang runtuh jauh sebelumnya.
Dalam hal ini, ia mengingatkan kita bahawa komunikasi bukan urusan menulis laporan atau menghantar mesej sahaja. Ia adalah proses yang memastikan setiap maklumat kritikal bergerak tanpa halangan. Ia memerlukan keberanian moral, disiplin organisasi dan budaya bertanggungjawab.
Selagi kita terus mengamalkan mentaliti menapis maklumat, memperlahankan penyampaian atau mencari alasan untuk tidak memanjangkan laporan, kita sedang membenarkan risiko menjadi bencana dan bencana menjadi tragedi.
Dalam dunia keselamatan, komunikasi bukan pelengkap sistem kerana ia adalah tiang utama yang menentukan sama ada sesuatu kerosakan kecil kekal terkawal atau akhirnya meragut nyawa.
Selagi kelemahan komunikasi tidak diperbaiki, kita akan terus berhadapan dengan ancaman yang bukan datang daripada struktur, tetapi daripada diri kita sendiri. Apapun, mari kita bersama memperbaiki komunikasi antara kita.
*Dr.Haji Ainol Amriz Ismail merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)



