POLIS menahan seramai 21 Orang Asli bagi membantu siasatan pencerobohan tanah milik Sultan Pahang di Kampung Jemeri, Kuala Rompin, Rompin semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mereka termasuk 17 wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada pihak yang mendakwa dilantik untuk mengusahakan tanah itu.
“Wakil syarikat itu mendakwa sekumpulan Orang Asli menceroboh dan merosakkan palang besi serta memotong kelapa sawit di kawasan ladang milik Sultan Pahang seluas 718.281 hektar tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis menahan kesemua mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sharif Shai turut menasihatkan masyarakat mematuhi peraturan dan undang-undang di negara ini dan mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah.


