MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang didakwa boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrul Hisham, 46, di akhir kes pendakwaan.
Semasa membacakan keputusan, Norma berkata, keputusan dibuat setelah meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua pihak.
“Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.
Pada 29 April 2024, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan tersebut boleh merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, pada jam 6 petang, 22 Januari 2024.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 16 Mei lalu, seramai empat saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk pengadu dari Istana Negara, dua saksi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pegawai penyiasat kes.
Badrul Hisham diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman.
Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas prosiding, Muhammad Rafique berkata terpulang kepada pihak pendakwaan sama ada untuk memfailkan rayuan atau tidak.
Menurutnya, pihak pendakwaan mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan.
“Jika ada seteru politik yang tidak berpuas hati, mereka perlu menghentikan tindakan menyalahgunakan agensi penguat kuasa dan tidak membazirkan masa polis dengan isu-isu politik seperti ini. Mereka boleh teruskan saman sivil, jadi jangan salah guna kuasa penguat kuasa,” katanya.
UNDILAH |



