City menang bergaya,Liverpool merana di Etihad

MANCHESTER  City mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Liverpool dalam perlawanan ke-1,000 Pep Guardiola sebagai pengurus, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, kepada hanya empat mata.

Kemenangan meyakinkan itu melengkapkan malam bersejarah buat Guardiola, yang kini merekodkan 716 kemenangan sepanjang karier pengurusannya. City mendominasi sepenuhnya di Etihad, dengan Erling Haaland, Nico Gonzalez, dan Jeremy Doku masing-masing menyumbang kepada kejayaan tersebut.

City kini kembali ke tangga kedua liga menjelang rehat antarabangsa, manakala Liverpool terus merosot ke tangga kelapan selepas tewas buat kali kelima musim ini.

Keputusan seri 2-2 Arsenal menentang Sunderland pada Sabtu membuka peluang buat Manchester City, memanfaatkannya  persembahan terbaik mereka musim ini ketika menumbangkang Liverpool.

Erling Haaland gagal menyempurnakan sepakan penalti awal selepas percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Giorgi Mamardashvili, yang sebelum itu menjatuhkan Jeremy Doku di dalam kotak penalti. Namun, penyerang Norway itu menebus kesilapan tersebut pada minit ke-29, menanduk masuk hantaran silang Matheus Nunes dari sebelah kanan untuk membuka jaringan buat City.

Liverpool menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan apabila Virgil van Dijk menanduk masuk sepakan penjuru Mohamed Salah, tetapi jaringan itu dibatalkan selepas Andy Robertson didapati berada dalam kedudukan ofsaid — keputusan yang disahkan oleh VAR.

Nasib malang menimpa Liverpool tiga minit memasuki masa kecederaan babak pertama apabila rembatan Nico Gonzalez terkena Van Dijk dan melantun masuk ke gawang sendiri, menjadikan kedudukan 2-0 buat City.

Liverpool hampir bangkit pada awal separuh masa kedua apabila pemain gantian Cody Gakpo mensia-siakan peluang terbuka, menolak hantaran Conor Bradley melepasi palang.

Namun, harapan mereka berakhir pada minit ke-63 apabila Doku mempamerkan aksi individu menakjubkan — memperdaya Ibrahima Konaté sebelum melepaskan rembatan deras ke penjuru atas kanan gawang untuk menjadikan kedudukan 3-0.

City terus menguasai permainan selepas itu, dengan Dominik Szoboszlai dan Salah masing-masing menguji Gianluigi Donnarumma, manakala Nico O’Reilly turut hampir menambah jaringan.

 

.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img