Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM150,000 ke atas pegawai imigresen Shamsudin Ishak, 51 selepas didapati bersalah memalsukan dokumen perjalanan Pas Malaysia My Second Home (MM2H) bagi tujuan penyeludupan migran melibatkan seorang lelaki warga Vanuatu, tiga tahun lalu.
Awang tertarik dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman yang memohon mahkamah mengenakan hukuman berat, memandangkan tertuduh adalah penjawat awam yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan serta mengawal sempadan negara.
“Tertuduh telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab dengan melakukan kesalahan bertentangan dengan fungsi serta jawatannya,’’ kata Haslinda.
Beliau juga berhujah, ‘’Ini adalah penyalahgunaan jawatan untuk tujuan jenayah peribadi. Ia bukan kesalahan biasa kerana tertuduh menggunakan kapasiti rasmi bagi menghasilkan dokumen palsu bagi penyeludupan migran. Jenayah ini bukan sahaja serius, malah berpotensi menggugat keselamatan negara, ekonomi dan ketenteraman awam.’’
Apabila membaca berita ini Awang terus teringat kes counter setting yang menyaksikan pada Rabu lalu 18 pegawai Agensi Kawalan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ditahan oleh SPRM.
Bagi Awang, kes pegawai imigresen dihukum penjara lapan tahun itu tidak ada bezanya dengan sindiket counter setting yang melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kedua-dua melibatkan tindakan mengkhianati amanah untuk menjaga pintu masuk negara dengan jawatan dan kuasa yang diberikan.
Awang berpendapat, jika siasatan membuktikan mereka terlibat dalam sindiket itu, hukuman yang berat perlu dikenakan. Tidak boleh ada kompromi lagi terhadap puak-puak seperti itu kerana mereka meletakkan negara dalam bahaya.
Membenarkan pendatang asing masuk melalui pemalsuan dokumen atau tidak mengikut prosedur ditetapkan adalah pengkhianatan kepada amanah yang diberikan. Mereka seronok sahaja berjoli dengan wang haram sedangkan bahaya menanti rakyat dan negara ini.
Awang tak pasti apa hukuman yang akan dikenakan terhadap mereka tetapi Awang harap lepas ni semua yang terlibat dalam sindiket counter setting dikenakan hukuman penjara supaya ia menjadi pengajaran kepada pegawai dan anggota AKPS.
Jika harta benda yang mereka beli hasil sumber haram waima rumah sekalipun rampas sahaja. Mungkin ada orang kata ia perbuatan aniaya, habis tu mereka gadai amanah, khianat kepercayaan negara, letakkan rakyat ni dalam bahaya bukan aniaya ke?
Awang – Bagi anak bini hasil haram..lagi aniaya!