JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua atau gelombang haba bagi daerah Padang Terap, Kedah.
MetMalaysia melalui Facebook jabatan itu memaklumkan, suhu maksimum harian di kawasan itu dijangka mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
‘’Selain Padang Terap, sebanyak 12 kawasan lain di Semenanjung Malaysia kini diletakkan di bawah status tahap satu atau berjaga-jaga,’’ kata MetMalaysia.
Kawasan itu melibatkan Perlis dan Kedah iaitu di Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak (Perak) dan Rembau (Negeri Sembilan).
“Kebanyakan kawasan lain di Semenanjung berada pada paras normal dengan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius,” kata jabatan itu.
Status berjaga-jaga dikeluarkan apabila sesebuah kawasan merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh tiga hari berturut-turut.


