Cuaca sejuk  ragut 103 nyawa di Bangladesh,  lebih 1,400 pesakit dirawat

CUACA sejuk melampau telah menyebabkan peningkatan mendadak kes penyakit berkaitan kesejukan di seluruh Bahagian Rangpur, dengan seramai 1,421 pesakit baharu dimasukkan ke Hospital Kolej Perubatan Rangpur sepanjang tiga hari lalu, manakala 103 kematian direkodkan dari 1 hingga 3 Januari, lapor United News of Bangladesh (UNB).

Pengarah hospital, Brigadier Jeneral Ashiqur Rahman, mengesahkan angka tersebut, sambil memaklumkan berlaku lonjakan ketara kemasukan pesakit di wad perubatan dan pediatrik. Sepanjang tempoh itu, 37 kematian direkodkan di kedua-dua wad berkenaan.

Pejabat Meteorologi Rangpur melaporkan suhu yang amat rendah dicatatkan di beberapa daerah semalam, dengan Saidpur, Nilphamari mencatat 10.5 darjah Celsius, diikuti Panchagarh (10.6°C), Thakurgaon (10.7°C), Rangpur (11.2°C), Kurigram (11.5°C), Gaibandha (11.8°C) dan Lalmonirhat (12°C). Kabus tebal dijangka berterusan dalam tempoh lima hari akan datang.

Pegawai Bertugas Pejabat Meteorologi Rangpur, Mostafizar Rahman, berkata kedudukan Rangpur yang berhampiran dengan Banjaran Himalaya menyebabkan kesan kesejukan dirasai lebih teruk berbanding kawasan lain di negara itu.

Menurutnya, wilayah tersebut mengalami cuaca sejuk yang teruk sejak beberapa hari lalu akibat tiupan angin sejuk dan kabus tebal. Kabus sederhana hingga tebal dijangka meliputi kawasan utara dari lewat malam hingga awal pagi.

“Suhu waktu malam dijangka menurun sedikit manakala suhu siang hari kekal hampir tidak berubah. Perbezaan suhu yang kecil antara siang dan malam menyebabkan kesejukan dirasai dengan lebih ketara,” katanya.

Pihak berkuasa memaklumkan cuaca sejuk ini telah menjejaskan kehidupan harian penduduk, khususnya komuniti berpendapatan rendah di sepanjang sungai Teesta, Dharla dan Jamuna. Langkah-langkah perlindungan turut diambil untuk ternakan, ayam ternakan dan haiwan zoo, termasuk pemberian vitamin serta menutup kandang bagi mengurangkan kesan sejuk.

Pegawai Bantuan dan Pemulihan Daerah, Golam Kibria, berkata sebanyak 12,500 selimut telah diagihkan setakat ini, manakala Tk 48 lakh (kira-kira AS$43,000) diperuntukkan bagi penyediaan pakaian panas di lapan upazila bagi mengurangkan penderitaan akibat cuaca sejuk.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img