Curi selipar punca remaja diikat, disembur guna api – Polis

POLIS percaya remaja lelaki berusia 13 tahun yang menjadi mangsa buli dengan tangan diikat dan disembur dengan api oleh sekumpulan individu di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee, di Johor Bahru didakwa mencuri selipar salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang bekerja sebagai pembantu gerai minuman dan didakwa mencuri selipar milik seorang daripada mereka.

ASISTEN Komisioner Raub Selamat

“Selipar itu ditemukan semula di kaki lima rumah mangsa. Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, polis telah menahan empat suspek remaja lelaki tempatan berusia lingkungan 14 hingga 15 tahun di dua lokasi berasingan.

“Daripada jumlah itu, tiga suspek dikenal pasti tidak bersekolah. Polis turut merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan, antaranya seutas tali nilon, satu penyembur racun serangga dan satu pemetik api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raub, hasil semakan mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, polis akan membuat permohonan lanjutan reman ke atas kesemua suspek yang sebelum ini ditahan selama empat hari dan berakhir esok.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Kertas siasatan bagi kes ini telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Johor dan masih terdapat beberapa arahan yang perlu dilengkapkan untuk tujuan pertuduhan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan prosiding mahkamah,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat yang memaparkan sekurang-kurangnya empat remaja lelaki disyaki membuli mangsa termasuk menyembur bahan dipercayai api ke arah mangsa yang berada dalam keadaan tangan terikat, dalam kejadian kira-kira jam 12.39 tengah malam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img