PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan 32 laluan smart lane di lokasi tumpuan trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan bagi melancarkan aliran trafik sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bermula minggu ini.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, pengaktifan smart lane antara langkah strategik bagi menampung peningkatan trafik yang dijangka mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak.

“Smart lane ini bertujuan meningkatkan kapasiti lebuh raya sedia ada dan melancarkan pergerakan trafik, khususnya ketika waktu puncak sepanjang musim perayaan,” katanya pada sidang media selepas penutup program Jelajah Bersama Media di Restoran Jejantas Sungai Buloh hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi; Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran serta pengurusan kanan PLUS.
Menurut Nik Airina, sebanyak 32 lokasi smart lane dikenal pasti di jajaran lebuh raya dari utara hingga selatan yang sering mengalami kesesakan ketika cuti perayaan.
Tambah beliau, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya untuk menggunakan smart lane secara berhemah dan mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan.

“Smart lane bukan untuk pemanduan laju, sebaliknya bagi membantu melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan,” katanya.
Nik Airina menambah, PLUS menjangkakan hari-hari puncak berlaku pada 12, 13 dan 14 Februari bagi aliran trafik keluar dari Lembah Klang, manakala 20, 21 dan 22 Februari bagi pergerakan kenderaan kembali ke ibu kota.
“Selain itu, pengguna lebuh raya turut digalakkan merancang perjalanan dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selamat sempena cuti perayaan,” katanya.
Sementara itu, mengulas pengaktifan smart lane, Zakaria berkata, ia bergantung kepada keadaan trafik semasa dan lazimnya dilaksanakan ketika waktu puncak pagi dan petang, sebelum ditutup semula apabila aliran trafik kembali lancar.
Difahamkan, penggunaan smart lane mampu meningkatkan kapasiti jalan sehingga kira-kira 25 peratus, sekali gus membantu menyuraikan kesesakan di lokasi kritikal sepanjang lebuh raya.
“Pengguna hanya dibenarkan menggunakan smart lane apabila ia diaktifkan dan ditandakan dengan papan tanda serta lampu hijau berkelip.
“Lorong kecemasan tidak boleh digunakan sekiranya smart lane tidak dibuka,” tegasnya.


